POLIS membuka siasatan terhadap acara jamuan durian yang dihadiri oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Abdul Rashid Hasnon, yang rakaman videonya tular di media sosial, kerana melanggar sekatan pencegahan Covid-19.
Ini adalah kes kedua dalam masa seminggu melibatkan ahli Parlimen kerajaan, selepas polis membuka siasatan sama terhadap menteri ekonomi Mustapa Mohamed pada Ahad.
Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata kes disiasat selepas pihaknya menerima laporan mengenai rakaman kejadian, dipercayai berlaku di Batu Pahat kelmarin.
“Pihak polis akan memanggil ahli Parlimen berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Awal hari ini, Abdul Rashid berkata acara jamuan itu berlaku lama sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa. PKP dikuatkuasakan di seluruh negara sejak 1 Jun lalu.
Sumber bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, jamuan terbabit berlaku minggu lepas di Batu Pahat.
“Kejadian minggu lepas,” katanya, ringkas dengan syarat dirahsiakan identiti.
Video sepanjang 14 saat itu memaparkan sekumpulan individu termasuk Rashid yang juga ahli Parlimen Batu Pahat sedang menikmati durian beramai-ramai.
Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 melarang segala bentuk perhimpunan atau acara sepanjang tempoh PKP berjalan.
Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak polis meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” tambahnya.
Selain video yang menunjukkan kehadiran Rashid, turut tersebar gambar seorang lelaki berbaju biru menyerahkan durian kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.
Lelaki yang dipercayai pemimpin kanan Bersatu Batu Pahat kebetulan mengenakan baju kemeja dan kopiah yang sama, seperti dalam rakaman video bersama Rashid.
Rashid turut kelihatan dalam gambar tersebut.
Media pada Ahad turut melaporkan kegiatan Zuraida di Batu Pahat, antaranya melawat Majlis Perbandaran Batu Pahat bersama Rashid.
Kelmarin, Mustapa memohon maaf kerana melanggar SOP PKP selepas makan di sebuah kafe di kawasan parlimennya di Jeli, Kelantan.
Mustapa mengakui kesilapannya dan menyerahkan kes untuk diambil tindakan oleh pihak polis.
Polis juga sudah mengambil keterangan daripada pemilik kafe berkenaan untuk membantu siasatan. – 29 Jun, 2021.
Komen