TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata jamuan durian yang dihadirinya, yang rakaman video dan gambarnya tular hari ini, adalah kejadian tahun lepas sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Sumber bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insight, jamuan terbabit berlaku minggu lepas di Batu Pahat.
“Kejadian minggu lepas,” katanya, ringkas dengan syarat dirahsiakan identiti.
Video sepanjang 14 saat itu memaparkan sekumpulan individu termasuk Rashid yang juga ahli Parlimen Batu Pahat sedang menikmati durian beramai-ramai.
Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 melarang segala bentuk perhimpunan atau acara sepanjang tempoh PKP berjalan.
Selain video yang dikatakan mengandungi Rashid, turut tersebar adalah gambar seorang lelaki berbaju biru menyerahkan durian kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.
Lelaki yang dipercayai pemimpin kanan Bersatu Batu Pahat kebetulan mengenakan baju kemeja dan kopiah yang sama, seperti dalam rakaman video bersama Rashid.
Rashid turut kelihatan dalam gambar tersebut.
Kakitangan pejabat ahli Parlimen Batu Pahat bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed memohon maaf kerana melanggar SOP PKP selepas makan di sebuah kafe di kawasannya di Jeli, Kelantan.
Mustapa mengakui kesilapannya dan menyerahkan kes untuk diambil tindakan oleh pihak polis. – 29 Jun, 2021.
Komen