Mustapa Mohamed mengaku langgar SOP makan di kafe


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed memohon maaf atas pelanggaran SOP ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun 2021.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed mengaku melanggar sekatan pergerakan penuh pencegahan Covid-19 selepas tersebar gambar beliau makan di sebuah kafe di Jeli, semalam, kata pejabatnya.

Dalam satu kenyataan malam ini, pejabat Mustapa berkata perkara itu sedang disiasat oleh pihak polis.

“Dato’ Sri Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Café, Kampung Kalai, Jeli pada Sabtu lalu.

“Berikutan tersebarnya gambar mengenai kehadiran beliau di kafe tersebut, Ketua Polis Daerah Jeli menghubungi beliau tengah hari tadi memaklumkan bahawa kertas siasatan telah pun dibuka mengenai perkara ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Mustapa, malam ini.

Kenyataan itu juga menyebut Mustapa memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Beliau memohon maaf atas pelanggaran SOP ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan Mustapa singgah di kafe berkenaan untuk melihat bagaimana pemiliknya meneruskan perniagaan di tengah pelbagai sekatan mencegah penularan Covid-19.

Kafe itu diusahakan oleh seorang anak muda berusia 26 tahun yang menggunakan media sosial untuk menjual makanan barat, kata pejabat Mustapa.

Gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed singgah di kafe berkenaan dikongsi oleh pemilik kafe. – Gambar dari Facebook Kecek Ore Jeli, 27 Jun 2021.

Gambar Mustapa singgah di kafe berkenaan dikongsi oleh pemilik kafe dalam laman Facebook Kecek Ore Jeli.

Tiga keping foto itu diiringi kenyataan pendek pengusaha kafe yang merakamkan syukur dikunjungi oleh wakil rakyat Jeli.

Gambar itu kemudian ditangkap layar dan tersebar luas di media sosial.

Perintah Kawalan Pergerakan yang berjalan sekarang melarang makan di tempat di kedai makan, restoran atau warung. Semua premis makanan dan minuman hanya dibenarkan menjual secara penghantaran atau bawa pulang.

Mulai esok, operasi premis makanan dipanjangkan bermula 6 pagi hingga 10 malam daripada waktu asal bermula 8 pagi hingga 8 malam yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu. – 27 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen