Guan Eng minta SPRM hentikan maklumat bocor


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata ini bagi mengelakkan "persepsi yang tidak diingini yang jelas untuk memburukkan imej pemimpin kerajaan negeri". – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2018.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap “kebocoran” maklumat mengenai siasatan ke atas terowong bawah laut dan tiga projek lebuh raya yang sedang dijalankan.

Menurut Ketua Menteri Lim Guan Eng, media Barisan Nasional (BN) telah memetik maklumat dari siasatan SPRM itu dan menyiarkan artikel dengan “tuduhan palsu”.

Beliau berkata SPRM mesti bertindak terhadap laporan palsu dan mendedahkan butiran siasatan di dalam media BN bagi memelihara kredibiliti dan integritinya.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan “persepsi yang tidak diingini yang jelas untuk memburukkan imej pemimpin kerajaan negeri”.

“Walaupun ia berulang kali dilakukan media BN seperti The Star, Berita Harian dan Utusan Malaysia, mereka telah mencetak laporan siasatan SPRM dan memetik sumber SPRM, untuk membuktikan tuduhan palsu mereka itu.

“Bagi mengelakkan sebarang persepsi double standard, bolehkah SPRM ambil tindakan ke atas ‘sumber’ ini yang membocorkan maklumat sulit siasatannya kepada media BN?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kata Lim, SPRM bertindak segera terhadap pihak yang membocorkan maklumat di media sosial atau akhbar namun sikap agensi rasuah itu kini “sungguh berbeza”.

“Saya terkejut apabila SPRM seolah-olah selesa dengan laporan meluas mengenai siasatan itu di media BN, yang mana ia sepatutnya sulit dan dilindungi bagi mengelakkan timbul prasangka.

“Mereka yang membocorkan maklumat siasatan harus dihukum berat.

“SPRM harus menjadi sebuah badan yang bebas dari gangguan dan arahan politik supaya ia dapat menjalankan tugasnya membasmi rasuah di negara ini termasuk skandal 1MDB dan Felda,” kata Lim.

Lim merujuk kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelbagai kontroversi yang menyelubungi Felda seperti pemindahan milikan tanah yang meragukan dan pembelian hotel yang melebihi harga pasaran.

Awal minggu ini, SPRM telah menyerbu beberapa jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang, syarikat yang menjalankan projek itu dan sebuah pemaju hartanah, serta menahan reman dua pengarah syarikat bagi membantu siasatan. – 13 Januari, 2018.

[Berita penuh di sini]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Bagi mengelakkan sebarang persepsi double standard, bolehkah SPRM ambil tindakan ke atas 'sumber' ini yang membocorkan maklumat sulit siasatannya kepadamedia BN?" katanya dalam satu kenyataan hari ini."

    Mana mungkin mrreks menghentikanya sbb itu satu strategi mereka memburuk kepimpinan.negeri pulau oinang walaupun tidak ada kes akan dikensjan kepada mereka..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • pandai pulak nak SPRM buat siasatan atas tuduhan isu terowong, masalahnya yang pembangkang duk buruk2 kan isu 1MDB tu tanpa ada bukti macam mana pulak? bila kena atas batang hidung sendiri baru tahu rasa kan.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan