EMPAT agensi kerajaan negeri dan tiga syarikat di Pulau Pinang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berkaitan cadangan projek terowong bawah laut negeri itu, lapor The Star.
Serbuan itu dijalankan empat hari selepas laporan yang dibuat oleh naib presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Difahamkan, SPRM menjalankan serbuan ke atas pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Negeri Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Pulau Pinang.
Tiga lagi syarikat yang diserbu adalah syarikat pemaju dan pembinaan.
Projek terowong bawah laut Pulau Pinang dianugerahkan pada 2013, dan kerajaan Pulau Pinang berkata rangka masa yang diberi kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk menyiapkan laporan kelayakan adalah 30 bulan.
Namun sehingga kini ia masih gagal dilengkapkan.
Terowong bawah laut yang menghubungkan pulau dan tanah besar itu merupakan sebahagian daripada projek RM6.3 bilion di bawah Consortium Zenith. Ia juga termasuk tiga jalan dua lorong.
Kerajaan Pulau Pinang telah menulis surat kepada Kementerian Kerja Raya pada April 2016, meminta projek terowong bawah tanah itu ditukar kepada projek jambatan ketiga.
Kementerian memberi maklum balas bahawa ia tidak boleh meluluskan projek infrastruktur utama tanpa dokumen sokongan.
Beberapa bulan lalu, pelbagai pihak, termasuk kementerian dan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Abdul Rahman Dahlan meminta kerajaan Pulau Pinang untuk lebih telus dengan penangguhan laporan kelayakan. – 9 Januari, 2018.
Komen