TIDAK nampak usaha bersungguh-sungguh dilakukan Putrajaya untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat ini, kata penganalisis politik.
Mereka berkata sudah jelas kerajaan akan perlu mengadakan persidangan Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu, tetapi persoalannya ialah: Bila?
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan semalam berkata akan mengambil langkah susulan mengikut undang-undang negara, sebagai respons daripada titah Agong supaya Parlimen bersidang segera.
Pejabat PM berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyembah maklum dan menasihati Agong mengenai perjalanan pengurusan pndemik Covid-19 dan penguatkuasaan Ordina Darurat semasa mengadap baginda pada Selasa.
Muhyiddin juga menyentuh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat serta pelaksanaan sidang Parlimen dan Pelan Pemulihan Negara, tambah kenyataan itu.
“Putrajaya tidak nampak begitu berminat untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos walaupun berdepan tekanan politik dan orang awam,” kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
Beliau berkata kerajaan mungkin menunggu hingga perintah darurat tamat pada 1 Ogos, walaupun ia mungkin tidak akan dilanjutkan lagi, susulan kenyataan Majis Raja-Raja pada Rabu.
Majlis Raja-Raja berkata tidak ada keperluan untuk perintah darurat dilanjutkan lagi selepas tamat tempohnya pada 1 Ogos.
Sebelum kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata Parlimen sepatutnya bersidang secepat mungkin bagi membolehkan wakil rakyat membahaskan ordinan darurat yang diluluskan.
Titahnya, ahli Parlimen juga sepatutnya dibenarkan membahaskan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Muhyiddin pada Selasa.
Ini kali kedua Agong bertitah Parlimen perlu bersidang walaupun dalam keadaan negara dikenakan perintah darurat. Tetapi setakat ini kerajaan enggan mengadakan sidang Parlimen, dengan alasan bimbang dengan pandemik Covid-19.
Muhyiddin sebelum ini berkata Parlimen akan hanya boleh bersidang pada Fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara iaitu antara September atau Oktober.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkin menunggu hingga September sebelum mengadakan sidang Parlimen, kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
“Satu tandanya ialah kenyataan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan pada Rabu, selepas keputusan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Walaupun Agong bertitah untuk Parlimen diadakan segera, Takiyuddin memberitahu lidah pengarang PAS, Harakah kerajaan akan hanya mengadakan sidang Parlimen pada September.
“Agong tidak menitahkan perlu diadakan (sidang Parlimen) pada bulan berapa tapi secepat mungkin, perdana menteri juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.
“Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” katanya setiausaha agung PAS itu. – 18 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen