Tak boleh ada agenda tersembunyi gesa Parlimen bersidang semula, kata Hishammuddin


SEMUA ahli Parlimen perlu mengutamakan kestabilan politik, kata Menteri Luar Negera Hishammuddin Hussein, di tengah desakan agar Parlimen bersidang semula

Tidak boleh ada agenda tersembunyi di sebalik seruan ini, dan seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan “alat pemuas nafsu politik sesetengah individu”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa menyebut nama, beliau menyentuh mengenai percubaan untuk menukar kerajaan dengan mendakwa ada majoriti cukup di kalangan ahli Parlimen.

“Usaha-usaha sebegini bukan baru. Kita telah melihatnya berulang kali selama bertahun-tahun - terbaru pada September 2020. Mereka terlalu taksub pada angka yang ‘kukuh, hebat, meyakinkan’ – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa,” kata Hishammuddin.

Walaupun beliau tidak menamakan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim namun presiden PKR itu dikenali kerana mendakwa ada majoriti “kukuh, hebat, meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri.

Parlimen dijangka akan bersidang semula sebelum hujung tahun ini di bawah Pelan Pemulihan Negara seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Katanya, Parlimen akan bersidang semula di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sekitar September atau Oktober setelah kes harian Covid-19 turun ke bawah 2,000 dan 40% populasi divaksinasi.

Hishammuddin berkata, ahli Parlimen yang mendesak Parlimen bersidang semula perlu bersetuju bahawa persidangan itu hanya tertumpu pada kepentingan rakyat dan pengurusan Covid-19.

“Agenda negara kita jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua.

“Wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan. Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan. 

“Tetapi yang paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas,” kata ahli Parlimen Sembrong dari Umno itu.

Hishammuddin mengakui kestabilan yang diinginkannya “tidak akan kekal selamanya.”

“Namun rayuan saya ringkas - hanya sehingga krisis COVID-19 berakhir.

“Kita berdepan gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak. Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Kenyataannya muncul ketika Majlis Raja-Raja mengadakan perbincangan khas mengenai keadaan negara sekarang ini ditengah desakan menamatkan darurat, Parlimen bersidang semula dan pengurusan pandemik Covid-19 yang lebih bagus. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen