Parlimen akan bersidang paling awal September, kata PM


Chan Kok Leong

Pada ucapan khas hari ini, Muhyiddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang mengandungi empat fasa. Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

PARLIMEN akan bersidang semula di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara sekitar September atau Oktober, kata Muhyiddin Yassin.

“Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen petang ini.

Muhyiddin menegaskan pendiriannya bahawa Parlimen akan berfungsi semula pada masa yang sesuai.

“...setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” katanya.

“Saya akan terus mendukung prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya yang juga presiden Bersatu.

Awal hari ini, Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejurus selepas baginda menerima mengadap Ariffin Zakaria yang mengetuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai bila darurat perlu ditamatkan.

Parlimen tidak bersidang sejak tahun lalu berikutan keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat pada 11 Januari ketika jumlah jangkitan harian sekitar 2,000 kes.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan beralih ke Fasa 3 selepas;

  • purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes;
  • sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi; dan 
  • 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” katanya.

Di bawah Fasa 3, semua sektor ekonomi (selain yang tersenarai dalam daftar berisiko tinggi) akan dibuka kembali pada kapasiti 80%, kata Muhyiddin.

Katanya, aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Pada ucapan khas hari ini, Muhyiddin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang mengandungi empat fasa.

Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator Pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

“Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan 

“Indikator Ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen