Muhyiddin mengadap Agong di Istana Negara


Pertemuan ini berlangsung menjelang persidangan khas Raja-Raja Melayu yang ditetapkan esok di Istana Negara untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini, lapor Astro Awani.

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dilihat memasuki kawasan Istana Negara pada pukul 2.20 petang tadi.

Pertemuan ini berlangsung menjelang persidangan khas Raja-Raja Melayu yang ditetapkan esok di Istana Negara untuk membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu.

Ia juga berlangsung beberapa jam menjelang perutusan khas Muhyiddin mengumumkan pelan pemulihan negara yang dijadualkan pada 5 petang ini.

Muhyiddin kelmarin mengumumkan pentadbirannya sedang merangka satu pelan untuk mempersiapkan negara keluar daripada pandemik Covid-19 pada satu peringkat yang munasabah.

Perdana menteri lazimnya mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu untuk mesyuarat pra-kabinet sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu pada awal hari ini menerima mengadap bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang mempunyai mandat untuk menasihati baginda mengenai tempoh darurat.

Majlis mengadap hari ini berlangsung selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menerima mengadap ketua-ketua parti politik sejak Rabu lalu.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, selain PAS, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta Dr Mahathir yang juga ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Semalam, Seri Paduka berkenan menerima mengadap ketua-ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara berasingan. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen