Pengerusi jawatankuasa darurat menghadap Agong


Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Ariffin Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini menjelang perbincangan khas Raja-Raja Melayu esok bagi membincangkan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

BEKAS ketua hakim negara Ariffin Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini menjelang perbincangan khas Raja-Raja Melayu esok bagi membincangkan wabak Covid-19.

Ariffin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi memberi nasihat kepada Agong. Sumber mengesahkan beliau tiba di Istana kira-kira jam 9.45 pagi.

Pertemuan khas Ariffin dengan Agong dibuat selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu dengan pemimpin 15 parti politik bermula Rabu lalu. 

Sebilangan besar pemimpin pembangkang yang selesai menghadap Agong di Istana Negara berkata bahawa mereka menentang darurat dan mahu Parlimen bersidang semula.

Dalam pertemuan selama sejam, pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim berkata beliau meminta Agong untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos.

Anwar berkata beliau menekankan bahawa pelanjutan darurat selepas 1 Ogos hanya boleh membawa kesan buruk kepada negara terutama ekonomi yang dilanda wabak Covid-19 yang semakin buruk.

“Kami memberi pandangan bahawa lanjutan darurat akan mempengaruhi ekonomi terutama rakyat biasa.

“Ada langkah lain yang dapat diambil. Tidak ada keperluan untuk darurat. Oleh itu kami memohon perkenan Tuanku untuk tidak melanjutkannya,” katanya kepada wartawan selepas pertemuan di Istana Negara.

Bagaimanapun bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang menurutnya akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi negara.

“Baginda tidak menolak cadangan ini, namun memaklumkan jika ingin tubuhkan, kerajaan yang ada sekarang perlu mencadangkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi, saya tidak yakin kerajaan yang ada akan tubuhkan badan seperti Mageran kerana daripada awal lagi mereka sudah kata tak perlu Mageran kerana semua perkara sama ada ekonomi, politik, sosial dan pandemik dalam keadaan baik,” katanya.

Dua hari kemudian Dr Mahathir mencadangkan Mageran digantikan kepada Majlis Pemulihan Negara.

Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkannya ini tidak menggantikan kerajaan, dan sebaliknya hanya akan menangani empat perkara.

Ia terdiri daripada usaha mengurangkan jangkitan, memulihkan ekonomi dan kewangan, menangani krisis politik dan juga masalah pelajar menjalani persekolahan, katanya. 

Tambahnya, majlis itu seterusnya akan dapat dianggotai pakar dan tokoh berwibawa dan tidak partisan bagi membantu negara mengatasi krisis.

Ia termasuk pakar termasuk dalam bidang psikiatri, ekonomi, pelaburan, penggerak sosial, perundangan dan juga tokoh politik yang tidak mewakili parti.

“Keahlian tidak akan lebih dari 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara.

“Nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenannya. 

“Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap perlantikan mereka sebagai satu khidmat negara…” katanya. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen