Majlis Pemulihan Negara tak ambil alih kerajaan, kata Dr Mahathir


Pada Khamis, Dr Mahathir meluangkan kira-kira 45 minit menghadap Agong di Istana Negara untuk mencadangkan penubuhan Mageran bagi menangani isu yang dihadapi negara ekoran pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

MAJLIS Pemulihan Negara tidak dicadangkan untuk mengambil alih kerajaan tetapi untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan kes jangkitan Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.

Majlis itu juga tidak tertakluk bawah kerajaan tetapi akan melaporkan secara terus kepada Yang di-Pertuan Agong, kata bekas perdana menteri.

“Kewujudan majlis ini akan tamat apabila negara mencapai imuniti kelompok atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Majlis ini diperlukan untuk memasti keputusan pelan tindakan untuk membantu rakyat dapat dibuat dengan segera dan dilaksanakan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, ia serupa dengan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) yang ditubuhkan perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein selepas rusuhan kaum dan krisis politik 1969.

Namun Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkannya ini tidak menggantikan kerajaan, dan sebaliknya hanya akan menangani empat perkara.

Ia terdiri daripada usaha mengurangkan jangkitan, memulihkan ekonomi dan kewangan, menangani krisis politik dan juga masalah pelajar menjalani persekolahan, katanya. 

“Selain dari empat perkara ini, perkara lain tidak akan disentuh oleh majlis. Sementara itu kerajaan boleh menangani urusan-urusan biasa asalkan tidak menyentuh empat perkara tadi,” katanya.

Untuk menangani krisis politik, langkah yang dicadangkan itu akan membolehkan Parlimen terus bersidang dan tindakan Majlis Pemulihan Negara dibentangkan.

“Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen,” katanya.

Beliau juga memberi amaran, masalah politik tetap akan timbul sekiranya terdapat usaha rampasan kuasa dan membentuk kerajaan baharu.

“Malangnya jika kerajaan ditukar, kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis. Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah,” katanya.

Tambahnya, majlis itu seterusnya akan dapat dianggotai pakar dan tokoh berwibawa dan tidak partisan bagi membantu negara mengatasi krisis.

Ia termasuk pakar termasuk dalam bidang psikiatri, ekonomi, pelaburan, penggerak sosial, perundangan dan juga tokoh politik yang tidak mewakili parti.

“Keahlian tidak akan lebih dari 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara.

“Nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenannya. 

“Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap perlantikan mereka sebagai satu khidmat negara…” katanya.

Nama berkenaan akan dipersembahkan sekiranya Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menerima cadangan penubuhan majlis tersebut, katanya.

Penubuhan majlis itu dicadangkannya sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu.

Ia menerima tentangan dari Umno dan pemimpin parti Pakatan Harapan yang berkeras mahu sidang Parlimen diadakan semula dan darurat ditamatkan.  – 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen