RAJA-RAJA Melayu tiba di Istana Negara untuk mengadakan perbincangan khas mengenai keadaan negara sekarang, lima bulan selepas perisytiharan darurat untuk menangani penularan Covid-19.
Perbincangan khas atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dijadual bermula pada 2.30 petang.
Media melaporkan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tiba di Istana Negara, kira-kira 11.03 pagi, diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyusul sejam kemudian.
Istana Negara semalam memaklumkan perbincangan khas itu akan menyentuh perkara-perkara yang dibangkitkan oleh 18 ketua parti politik semasa majlis mengadap Al-Sultan Abdullah sejak seminggu lalu.
Ini termasuk rayuan agar Parlimen dibuka semula segera, yang disuarakan oleh majoriti pemimpin serta penubuhan sebuah Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Al-Sultan Abdullah juga semalam berkenan menerima mengadap bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria yang menyembah maklum pandangan jawatankuasa khas bebas darurat, yang diberi mandat menasihati baginda mengenai tempoh darurat.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengusulkan agar Raja-Raja Melayu melantik ketua kerajaan yang baharu, selepas Dewan Rakyat katanya bermasalah untuk memainkan peranan itu.
Beliau menggariskan tiga keadaan kenapa Dewan Rakyat tidak dapat berfungsi sekarang.

Gantung nasihat Jemaah Menteri
Sementara itu, pakar undang-undang berpandangan Raja-Raja Melayu wajar menimbang syor untuk menggantung keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong mengikut secara mutlak nasihat Jemaah Menteri.
Menggantung Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan adalah antara isu yang boleh dibahaskan dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, petang ini, kata Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Ini bagi memastikan segala usaha menguruskan pandemik Covid-19 dan kesannya kepada negara dan rakyat lebih lancar, katanya.
“Dengan kuasa itu, Yang di-Pertuan Agong boleh menimbangkan semua cadangan yang sudah dikemukakan sebagai jalan keluar kepada semua krisis yang kita hadapi akibat pandemik sekarang, tanpa terikat dengan hanya nasihat Jemaah Menteri, dan tidak perlu menggantikan fungsi Jemaah Menteri dengan entiti lain” katanya.
Wan Ahmad Fauzi menjelaskan dengan menggantung Perkara 40(1), Al-Sultan Abdullah boleh menitahkan pembentukan badan yang berfungsi untuk membantu Jemaah Menteri menangani krisis, tanpa perlu menggantikan Jemaah Menteri sedia ada.
Ini termasuk penubuhan Majlis Pemulihan Negara sebagai sebuah badan perundingan, tambahnya.
“Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitahkan Parlimen bersidang semula, dan Parlimen nanti akan menimbang semula perisytiharan darurat dan ordinan yang dibuat sepanjang tempoh darurat,” katanya.
Ditanya apakah tidak langkah ini akan membawa negara kepada monarki mutlak, Wan Ahmad Fauzi berkata itu tidak berlaku kerana ordinan darurat boleh disemak oleh Parlimen.
“Penggantungan Perkara 40(1) hanya bersifat sementara,” katanya.
Jelas beliau penggantungan itu akan mengekalkan Jemaah Menteri sedia ada, membolehkan Parlimen bersidang dan wujud badan perundingan yang berwibawa untuk membantu Jemaah Menteri.
Istana Negara semalam memaklumkan Al-Sultan Abdullah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua pandangan yang disuarakan oleh 18 ketua parti politik kepada baginda sejak seminggu lalu.
Raja-Raja Melayu juga akan menerima sembah taklimat daripada beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.
Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat berkuat kuasa antara 11 Januari hingga 1 Ogos ini untuk membendung pandemik Covid-19.
Susulan itu, baginda turut memasyhurkan Ordinan Darurat yang antara lain menggantung Parlimen dan dewan undangan negeri serta menangguhkan pilihan raya. – 16 Jun, 2021.
Komen