TENGKU Razaleigh Hamzah memohon Raja-Raja Melayu memilih seorang perdana menteri yang baharu untuk mengetuai kerajaan yang boleh menyelamatkan negara daripada krisis penularan Covid-19 kerana Dewan Rakyat bermasalah untuk memainkan peranan itu.
Dalam keadaan tersebut, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk memainkan peranan mereka, katanya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.
Kenyataan Tengku Razaleigh dibuat menjelang perbincangan khas Raja-Raja Melayu membincangkan keadaan negara sekarang pada petang nanti.
“Peranan ini timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu. Peranan ini wujud selaras dengan Sumpah Jawatan itu.
“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi,” katanya dalam kenyataan itu.
Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu antara lain menyebut tentang peranan institusi itu untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keamanan negara.
Tengku Razaleigh, yang juga ahli Parlimen 11 penggal sejak 1974, berkata Dewan Rakyat tidak boleh menentukan perdana menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.
“Sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.
Dewan Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan, tambahnya.
Ketiga, katanya lagi, terdapat anggota Dewan Rakyat yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan.
“Tidak terdapat peruntukan di dalam perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau juga berpandangan Perlembagaan Persekutuan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk menghadapi keadaan yang sedang melanda sekarang.
Menurut Tengku Razaleigh, keadaan yang melanda negara sekarang mesti diselesaikan segera kerana rakyat jelas nampak tidak puas hati, yang mencerminkan mereka sudah hilang keyakinan kepada pemimpin.
“Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak,” katanya.
Jelas beliau, pemimpin yang dipilih harus mampu memahami keadaan semasa negara yang berhadapan krisis akibat Covid-19 untuk memimpin sebuah kerajaan yang boleh pula mengatasi krisis itu.
Krisis itu pula bertubi-tubi dan tidak pernah berlaku sebelum ini, melibatkan ekonomi, bekalan makanan, kesihatan dan keselamatan, katanya.
“Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai kesemua masalah atau menempuhi kegagalan,” katanya, sambil menegaskan peri pentingnya kepimpinan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Lipatan sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus memberi ruang kepada kegagalan,” tambahnya.
Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan bermula pada jam 2.30 petang ini di Istana Negara.
Semalam, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua pandangan yang disuarakan oleh ketua-ketua parti politik kepada baginda sejak seminggu lalu. – 16 Jun, 2021.
Komen