PERSATUAN Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) menafikan dakwaan yang mereka meminta pekerja untuk membayar RM50 bagi vaksinisasi Covid-19 di kompleks beli belah, selepas pihak pengurusan bersetuju menampus kos program itu.
Mereka berkata dalam semua perhubungan dengan pengurusan, sudah dinyatakan yang vaksin itu disediakan percuma oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, terdapat RM15 setiap dos iaitu RM30 untuk vaksin dua dos dicaj oleh Perbadanan Perlindungan Kesihatan bagi bekalan (upah) doktor, jururawat, pegawai perubatan untuk melaksanakan vaksinisasi.
“Perlu ditegaskan yang ia adalah bayaran prabayar dan tidak akan dipulangkan semula,” kata persatuan dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, kompleks beli belah akan menyediakan kawasan vaksinisasi dan pekerja pentadbiran, keselamatan dan perkhidmatan ambulans dan kos sebenar per dos vaksin hanyalah antara RM100 hingga RM150 bergantung kepada keluasan dan kapasiti pusat vaksin.
“Seperti dinyatakan dalam kenyataan media sebelum ini, kami menegaskan sekali lagi yang kompleks beli belah menawarkan untuk mensubsidi sepenuhnya program ini dengan hanya mengenakan RM10 per dos daripada kos sebenar sebanyak RM100 hingga RM150 selain RM15 per dos yang dikutip dan dibayar kepada Perbadanan Perlindungan Kesihatan.”
Katanya, bayaran RM10 per dos hanyalah bayaran komitmen bagi memastikan peserta hadir untuk divaksin. – 12 Jun, 2021.
Komen