Vaksin koronavirus ambil masa berbulan untuk disiapkan


Saintis di Makmal Kesihatan Haiwan Australia (AAHL) CSIRO sebuah kemudahan di Geelong, Victoria, Australia. Mereka sedang menjalankan kajian terhadap vaksin koronavirus. – Gambar EPA, 1 Februari, 2020.

TIADA syarikat yang mampu menyediakan vaksin koronavirus untuk digunakan sebelum pertengahan 2020, walaupun dengan usaha intensif global, kata seorang eksekutif bioteknologi kepada AFP pada Jumaat.

Stephane Bancel, ketua eksekutif Moderna Therapeutics, satu daripada beberapa entiti yang terlibat dalam usaha antarabangsa untuk membuat vaksin secepat mungkin bagi virus nCoV-2019, yang membunuh lebih 200 orang.

Moderna bekerja dengan penyelarasan bersama Institut Kesihatan Kebangsaan AS, manakala Inovio Pharmaceuticals dan University of Queensland di Australia sedang mencari jalan alternatif.

Kesemuanya menerima pembiayaan daripada Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk membiayai penyelidikan bioteknologi yang mahal.

Tetapi Bancel memberi amaran “tiada pengilang akan dapat menyediakan vaksin sebelum musim panas”.

“Bagi koronavirus, kami bekerjasama dengan Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH). Mereka memperoleh susunan virus daripada kerajaan China, maka NIH dan pasukan kami menganalisisnya untuk memahami struktur protein, yang berbeza dengan virus lain .

“Pasukan kami di Boston sedang membuat vaksin, dan sebaik sahaja siap, ia akan dihantar ke NIH bagi menjalani ujian fasa klinikal 1,” kata Bancel berkata merujuk kepada ujian keselamatan awal terhadap manusia.

Ditanya sama ada vaksin dapat disiapkan pada waktunya untuk menangani wabak itu, beliau mengingatkan ia perlu menjalani beberapa ujian klinikal.

“Cabarannya adalah ia boleh diberikan kepada jutaan orang dengan segera. Oleh sebab itu, tanggungjawab bagi keselamatannya sangat penting. Walaupun cepat dengan technologi seperti mRNA, pengeluar tidak akan dapat menyediakan vaksin pada musim panas, atau bahkan sebelum musim luruh.” – AFP, 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen