DUA belas hospital swasta di tiga negeri telah diangkat menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Anas Alam Faizili berkata operasi di hospital-hospital ini akan bermula esok, yang akan berlangsung sejajar dengan PICK.
Katanya jumlah 2,250 dos vaksin akan disediakan setiap hari, dengan dos akan diperbanyakkan setiap minggu.
“Dimaklumkan 12 hospital swasta akan bermula beroperasi esok 25 Mei sebagai PPV HS (hospital swasta) bermula dengan gabungan jumlah kapasiti 2,250 dos/hari di bawah PICK dan akan terus dipertingkatkan setiap minggu,” kata Anas melalui ciapan di Twitter.
12 hospital yang dipilih sebagai PPV swasta adalah di Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak.
ProtectHealth adalah inisiatif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang bekerjasama dengan hospital swasta bagi meningkatkan vaksinasi di negara ini.
Vaksinasi di PPV swasta ini percuma, dan vaksin sama di bawah PICK iaitu Pfizer atau Sinovac akan diberikan kepada orang awam.
12 hospital tersebut adalah:
Selangor
– Hospital Pakar KPJ Selangor
– Pusat Perubatan MSU
Negeri Sembilan
– Pusat Perubatan Nilai
– Hospital Pakar Senawang
– Hospital UCSI
– Hospital Pakar KPJ Seremban
– Pusat Perubatan Mawar
Sarawak
– Hospital Columbia Asia, Miri
– Hospital Pakar KPJ Kuching
– Pusat Perubatan Rejang
– Pusat Perubatan Timberland
– Pusat Perubatan Borneo
Setakat 23 Mei, sebanyak 2,388,487 dos vaksin telah diberikan.
Menurut angka dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 1,509,103 orang telah menerima dos pertama sementara 879,384 pula sudah mendapatkan dua suntikan. – 24 Mei, 2021.
Komen