HAMPIR 10,000 penduduk di Kelantan gagal hadir menerima vaksin Covid-19 pada hari janji temu dengan sebahagian besarnya berusia 60 tahun ke atas, menurut laporan.
Laporan Berita Harian yang memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin, berkata ramai di antaranya tidak memberi sebarang alasan selepas gagal hadir.
“Apabila kita mendapat senarai sehari atau dua hari sebelum janji temu, kita akan menghubungi setiap individu untuk mengenal pasti sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa ditetapkan.
“Bagaimanapun, bukan semua dapat dihubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan,” katanya yang menambah semua individu yang tidak hadir itu disenaraikan dalam fasa kedua penerimaan vaksin
Beliau menggesa penerima menghubungi hotline MySejahtera untuk menunda tarikh atau mengubah lokasi untuk menerima vaksin (PPV).
Ia akan membolehkan jabatan kesihatan menghubungi individu lain untuk menerima vaksin tersebut bagai mengelak pembaziran bekalan vaksin.
Katanya, enam PPV dibuka pada masa ini, masing-masing di Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok.
Tambahnya, jumlah lebih 340,000 individu yang mendaftar vaksin pada masa ini juga masih rendah. – Bernama, 24 Mei, 2021.
Komen