Exco Terengganu jawab isu tawaran bayar kompaun ziarah raya


Diyana Ibrahim

Adun Jabi Azman Ibrahim berkata tawaran untuk membayar kompaun kepada rakyat dibuat untuk membuktikan tiada amalan pilih kasih dalam penguatkuasaan PKP.– Gambar Facebook Azman Ibrahim, 17 Mei, 2021.

TAWARAN untuk membayar kompaun kepada rakyat dibuat untuk membuktikan tiada amalan pilih kasih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata seorang exco Terengganu.

Adun Jabi Azman Ibrahim yang dikenakan kompaun RM2,000 bagi kesalahan ziarah Hari Raya Aidilfiti menjelaskan tawarannya kepada mana-mana pihak yang dikenakan kompaun lebih tinggi.

Ia bagi menunjukkan golongan pemimpin juga menerima hukuman sama rata sepertimana yang akan dikenakan ke atas rakyat biasa bagi kesalahan berkaitan PKP, katanya.

Exco hal ehwal tani itu berkata demikian bagi menangkis tuduhan pihak berkuasa mengamalkan layanan berat sebelah kerana beliau hanya dikenakan denda RM2,000 bagi kesalahan itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, timbul dakwaan bahawa rakyat biasa akan dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi kesalahan tersebut.

“Jadi mereka kata berlaku ketidakadilan.Saya rujuk dengan polis itu kadar kesalahan itu memang tak ada dikenakan sampai RM5,000.

“Itu yang saya katakan, siapa yang kena kompaun lebih RM2,000 bawa marilah saya nak tolong bayar lebih itu.

“Nak buktikan yang lebih itu tak ada, sebenarnya RM2,000 sahaja. Sebab itu saya berani kata begitu, saya nak tolong bayar lebih itu supaya adil rakyat dengan pemimpin,” katanya.

Tawaran itu diumumkannya di Facebook selepas beliau menjelaskan kompaun RM2,000 bagi kesalahan menerima kunjungan jiran ke rumahnya.

Gambar kunjungan itu dimuatkan di laman tersebut, yang kemudian dipadamkan selepas menerima kecaman orang ramai.

Terdahulu sewaktu bulan Ramadan, beliau meraih kontroversi serupa selepas memuatkan gambar menghadiri satu jamuan moreh, dan turut memadamkannya selepas dikecam.

Tindakan Azman itu bertentangan dengan pengumuman kerajaan negeri melarang aktiviti berbuka puasa dan moreh di masjid dan surau di seluruh Terengganu.

Ketika ditanya, Azman berkata tiada mana-mana pihak tampil menuntut bayaran bagi kompaun lebih RM2,000 setakat ini.

“Tak ada (rakyat datang minta bayarkan) sebab tak ada yang didenda lebih RM2,000. Isu besar yang saya nak jawab ini sebenarnya pemimpin dengan rakyat dikenakan kompaun yang sama.”

Seorang lagi exco Terengganu, Adun Chukai Hanafiah Mat turut dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP pada hari raya pertama Khamis lalu.

Exco hal ehwal kebajikan itu pada masa tersebut menjelaskan, beliau menziarahi rumah pengundinya kerana ingin menghantar hidangan dan duit raya.

“Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan satay pada pagi raya sebelum saya ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.

“Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama,” katanya di Facebook.

Beliau juga tetap mempertahankan tanggungjawabnya untuk menziarah selepas dikenakan kompaun tersebut.

“Saya reda,sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT. Amanah  yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.

“Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun,” katanya.

Dakwaan layanan berat sebelah dalam menguatkuasa kawalan pandemik ke atas golongan pemimpin dan rakyat biasa itu terus menjadi duri dalam daging ketika PKP dilanjutkan untuk kali ketiga hingga 7 Jun.

Antara kes yang menjadi perhatian pada waktu ini melibatkan seorang menteri kanan, Mohamed Azmin Ali berkaitan kehadiran sejumlah besar anggota keluarganya di kediaman rasminya di Putrajaya.

Beliau kini masih disiasat berhubung dakwaan melanggar SOP sambutan Aidilfitri sewaktu PKP.

Setakat semalam, polis mengumumkan tiada pergerakan keluar masuk tetamu sewaktu sambutan hari raya itu pada 13 Mei.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali berkata maklumat itu berdasarkan keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi menteri itu.

Katanya, Azmin serta pegawai bertugas dan juga individu yang membangkitkan tuduhan bahawa menteri itu melanggar larangan ziarah pada hari raya akan dipanggil untuk siasatan.

Ia berkaitan gambar yang disiarkan Azmin di Facebook menunjukkan kehadiran anak, menantu dan juga cucunya di kediaman rasmi di No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Pengguna media sosial mempersoalkan sekiranya Azmin melanggar SOP sambutan Aidilfitri kerana tidak percaya kesemua individu tersebut tinggal sebumbung di kediaman berkenaan.

Larangan ziarah dan kunjungan bagi sambutan Aidilfitri sewaktu PKP itu berkuatkuasa antara 12 Mei hingga 7 Jun. – 17 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen