Polis siasat Azmin kes langgar SOP Aidilfitri


Gambar tular di media sosial yang mendakwa ahli keluarga Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Gambar Instagram, 15 Mei, 2021.

KETUA Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu laporan polis diterima semalam berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Beliau berkata laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Fadzil berkata Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan. 

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan  ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut. Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan. – Bernama, 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen