Gambar raya Azmin buat pengguna media sosial berang


Pada 12 Mei, sehari sebelum Aidilfitri, Azmin berkata, kata kunci di musim perayaan ini adalah 'pematuhan' selain meminta rakyat Malaysia mematuhi SOP. – Gambar Instagram rasmi Azmin Ali, 14 Mei, 2021.

KERAJAAN dituntut menjelaskan jika Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali melanggar ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menerima kunjungan keluarga.

Gesaan itu timbul selepas Azmin menyiarkan gambar di media sosial menunjukkan kehadiran anggota keluarga menteri itu ke rumah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengguna media sosial antara lain mempersoalkan sebab menteri itu masih tidak dikenakan tindakan sekiranya benar ia melibatkan kunjungan keluarga berlainan rumah.

Tuntutan itu merujuk gambar menunjukkan Azmin dengan sembilan individu yang disebut menteri itu sambutan hari raya dengan anggota keluarga secara maya.

Pengguna media sosial hairan dengan amalan tersebut kerana prosedur operasi standard PKP melarang sebarang kunjungan anggota keluarga dari berlainan rumah.

Antara yang mempersoalkan perkara itu pemimpin Umno Isham Jalil yang tidak percaya kesemua individu dalam gambar berkenaan tinggal serumah dengan Azmin.

“Yang dalam gambar ini semua duduk satu rumah kah Azmin? Kalau betul, jelaskan. Kalau tak betul, lepas lagi kah?” soalnya di Facebook.

Pada 12 Mei, sehari sebelum Aidilfitri, Azmin berkata, kata kunci di musim perayaan ini adalah ‘pematuhan’ selain meminta rakyat Malaysia mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Patuhi undang-undang, patuhi SOP, dan amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Suzzalina Anuar dengan geram membelasah menteri itu kerana melihat ahli Parlimen Gombak tersebut bebas melanggar SOP sambutan Hari Raya sewaktu PKP.

“Wah meriah anak menantu balik beraya. Rakyat disuruhnya duduk rumah,” katanya.

Pengguna Facebook dengan nama Al-hafiz Mima pula menyindir Azmin dengan berkata, menteri itu bertuah kerana ramai kaum keluarga tinggal serumah.

“Untung (Yang Berhormat) anak-anak ramai duduk sebumbung. Saya rakyat bawah nak ziarah hari raya bersama arwah ayahanda pun takut kena tangkap dipenjara,” katanya.

Polis semalam mengumumkan akan meningkatkan pemantauan di media sosial untuk memeriksa pematuhan SOP PKP, termasuk bagi kesalahan kunjung mengunjung semasa hari raya. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen