MKN benarkan beberapa aktiviti rekreasi di kawasan PKP


Majlis Keselamatan Negara membenarkan kegiatan sukan dan rekreasi di kawasan PKP bermula esok. – Gambar fail The Malaysian Insight 7 Mei, 2021.

KEGIATAN sukan dan rekreasi seperti berjoging, berbasikal dan bersenam dibenarkan mulai esok di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kementerian Belia dan Sukan. 

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata aktiviti sukan dan rekreasi yang dijalankan di kawasan terbuka tanpa hubungan fizikal seperti berjogging, berbasikal dan bersenam kini dibenarkan.

“Aktiviti dilakukan dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter dan dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa,” kata kementerian dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kementerian berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermesyuarat pada hari ini bagi meneliti rayuan Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan semakan SOP Sektor Sukan dan Rekreasi semasa PKP dari 7 sehingga 20 Mei. 

Keputusan itu disemak semula berikutan reaksi balas di media sosial terhadap keputusan MKN sebelum ini yang melarang kegiatan ini di kawasan PKP yang kini berkuatkuasa di enam daerah di Selangor dan seluruh Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kerajaan Selangor membenarkan aktiviti sukan, sukan luar dan rekreasi tertentu dilakukan selagi SOP seperti penjarakan fizikal serta tidak ada latihan berkumpulan dipatuhi.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata Putrajaya sepatutnya menggunakan data dari sistem amaran awal yang mengenal pasti kawasan panas penularan Covid-19 sebelum melarang semua aktiviti sukan dan riadah di kawasan PKP.

merujuk kepada sistem dikenali Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide), yang mengesan mana-mana premis atau lokasi sebagai kawasan panas untuk kemungkinan wujudnya kluster baharu.

“Memandangkan sistem pengesanan kawasan panas sudah dibangunkan dan sedang diguna pakai, saya menggesa pihak berkuasa menggunakan data sejarah MySejahtera (dengan anggapan ia tidak dipadam) untuk mengesan berapa banyak kluster yang wujud disebabkan oleh aktiviti sukan di kawasan terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Ong berkata langkah sama juga boleh diguna pakai untuk aktiviti lain seperti menonton wayang di pawagam dan bersenam di gimnasium.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican mengucapkan terima kasih kepada ahli MKN terutama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengambil kira cadangan kementerian itu.

“Kita masih belum menang dalam memerangi Covid-19, oleh itu semua pihak harus memainkan peranan lebih berkesan sehingga penguatkuasaan PKP kali ini dapat mencapai sasaran,” katanya. – 7 Mei, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen