Nasib malang Orang Asli Perak belum berakhir


Noel Achariam

Orang Asli suku Semai di Ulu Geruntum, Gopeng, Perak mengadakan mesyuarat mmebincangkan nasib 200 ekar tanah mereka yang akan dibangunkan untuk projek eko pelancongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mei, 2021.

ORANG Asli di Ulu Geruntum, Gopeng kini berdepan masalah lagi apabila baru mengetahui yang sebahagian tanah tempat tinggal mereka sejak lebih 100 tahun lalu itu boleh diambil untuk projek pembangunan.

Mereka pada masa ini sedang berdepan kes mahkamah dalam bantahan terhadap projek empangan hidroelektrik sejak 2012. Ia membabitkan 25 empangan mini di seluruh negeri itu yang diluluskan Barisan Nasional, dengan enam lagi dibenarkan dibina pada 2013. Keseluruhan kos pembinaan empangan itu RM2.92 bilion.

Suku kaum Semai itu mendakwa pemegang konsesi Perak Hydro memusnahkan tanaman dan kubur nenek moyang mereka menerusi pembinaan jalan ketika pembinaan itu dilakukan serta menceroboh tanah mereka.

Baru-baru ini mereka mendapati 200 ekar tanah di kawasan penempatan itu dijadualkan untuk pembinaan projek eko pelancongan, lengkap dengan laluan untuk masuk ke hutan.

Penduduk kampong Orang Asli itu membantah sebarang pembangunan di kawasan itu kerana ia kawasan tanah adat mereka.

Tok Batin T. Judu berkata mereka baru saja mengetahui tentang rancangan projek itu bulan lalu.

“Kami bertemu dengan pemaju pada April. Mereka beritahu sudah membayar kepada jabatan perhutanan (daerah Kinta dan Manjung) bagi menyewa tanah berkenaan selama 15 tahun untuk projek itu.

“Kami membantah projek ini kerana ia akan menceroboh tanah adat kami,” kata Judu kepada The Malaysian Insight, menambah beliau sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Kami sudah melihat tapak pembinaan itu dan mendapati projek itu akan menceroboh kawasan kebun Semai. Penduduk kampung berkebun dan tinggal di situ.”

Judu berkata awal minggu ini mereka menghantar surat ke jabatan perhutanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Adun Teja Sandrea Ng berkenaan bantahan pembangunan itu.

Penduduk kampung, Bah Kerper berkata tanah tempat kediaman mereka sejak lebih sedekad lalu, adalah warisan mereka.

“Tanah nenek moyang kami ini ada banyak sejarah. Nenek moyang kami dikebumikan di sini dan hutan adalah sumber kehidupan kami.

“Sebarang pencerobohan akan memusnahkan kebun buah dan menjejaskan kehidupan kami.”

Beliau berkata mereka bergantung kepada durian, manggis, langsat, petai, keledek dan makanan lain yang ditanam untuk kelangsungan hidup.

Kerper berkata jabatan perhutanan sepatutnya berunding dengan mereka terlebih dulu sebelum menyewakan tanah di situ.

“Bukannya jabatan perhutanan tidak tahu kami tinggal di sini. Mereka patut datang dan bincang, bukannya terus luluskan sebarang projek. Mereka buat sesuka hati, macamlah kami tidak wujud di sini.”

Kerper berkata mereka akan terus memelihara tanah itu dan membantah pencerobohan, menambah enam generasi keluarganya sudah tinggal di penempatan itu. – 7 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen