PEGUAM yang mewakili Orang Asli Ulu Geruntum di Gopeng, Perak mahu pihak kontraktor projek hidro elektrik mini menghentikan semua kerja pembinaan di tanah nenek moyang mereka sehingga kes mereka diputuskan oleh mahkamah.
Saman untuk menghentikan projek hidro elektrik berkenaan serta mendapatkan pengesahan tanah adat Semai difailkan sebelum pilihan raya umum ke 14 pada Mei, 2018.
Perbicaraan dijangka bermula bulan hadapan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Peguam Vinu Kamalanathan memberitau The Malaysian Insight, surat dikeluarkan pada Selasa kepada peguam yang mewakili syarikat yang menjalankan projek hidro elektrik mini bagi meminta anak guam mereka menangguhkan semua operasi sehingga kes itu selesai.
Sekiranya mereka gagal untuk mematuhinya, suku Semai boleh mendapatkan bantuan sementara menunggu keputusan mahkamah tinggi, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kami tulis kepada peguam Perak Hydro dan Conso Hydro untuk mengatakan bahawa kerana perkara ini telah ditetapkan untuk perbicaraan, anak guam mereka harus menghentikan semua aktiviti dan pencerobohan di tanah adat asli, dan membiarkan pondok yang baru dibina kerana perkara itu harus diputuskan dalam beberapa bulan akan datang.
“Sekiranya mereka tidak bersetuju, maka kita mungkin perlu mendapatkan bantuan sementara yang mungkin termasuk injunksi sementara menunggu pelupusan penuh saman mahkamah tinggi.
Suku Semai di Ulu Geruntum berharap kerajaan negeri Perak yang baharu dapat membatalkan projek hidro mini yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang menceroboh tanah adat mereka.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan 31 empangan mini di sepanjang tiga sungai termasuk Sungai Kampar. Saman difailkan oleh suku Semai yang membantah pembinaan itu kerana ia menjejaskan tanah adat mereka.
Walaupun mereka membantah, kerajaan negeri Pakatan Harapan tahun lalu memberi kebenaran untuk projek itu diteruskan atas dasar ia perlu mematuhi kontrak.
“Tujuan saman sivil Mahkamah Tinggi adalah untuk tanah ini diiktiraf dan diwartakan sebagai tanah adat asli suku Semai, dan juga untuk mencuba dan menghentikan pembangunan lebih lanjut mengenai tanah adat asli yang termasuk projek hidro,” kata Vinu.
Beliau berkata syarikat-syarikat yang terlibat, Perak Hydro Renewable Energy Corporation (PHREC) dan Conso Hydro RE Sdn Bhd, sebelum ini memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman itu, tetapi tidak berjaya.
Rakan Vinu, peguam Conrad Lopez berkata mereka memfailkan permohonan pada Jun, 2019 untuk meningkatkan keluasan tanah adat yang dituntut daripada 2,500 ekar kepada 3,000 hektar (7,400 ekar).
“Pindaan kepada saiz tanah adat yang dituntut akhirnya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Januari tahun ini.
“Ini untuk meningkatkan keluasan apa yang didakwa suku Semai sebagai tanah adat asli mereka. Bukti berhubung perkara ini akan jadi petunjuk pada perbicaraan kes mahkamah tinggi.”
Suku Semai telah membina pondok di atas tanah yang menjadi subjek pertikaian itu.
“Oleh itu, semua aktiviti dan pencerobohan oleh syarikat-syarikat di tanah adat asli harus dihentikan sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan.
“Kami berharap kami tidak perlu mendapatkan injunksi kerana ia berpotensi melambatkan perbicaraan,” kata Lopez.
Penduduk Semai telah membantah projek mini hidro sejak mula-mula diumumkan pada tahun 2012.
Ia bermula dengan 25 projek mini hidro di seluruh negeri yang diluluskan kerajaan BN pada tahun 2012. Enam empangan mini telah diluluskan setahun kemudian, menjadikan jumlah keseluruhan 31 empangan bernilai RM2.92 bilion.
Penduduk kampung mendakwa syarikat konsesi itu, Perak Hydro, memusnahkan tanaman mereka untuk membina jalan semasa pembinaan dan menceroboh tanah mereka.
Vinu juga berharap kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan tuntutan Semai ke atas tanah nenek moyang mereka sebagaimana yang dilakukan Putrajaya kepada Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Tahun lalu, Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan kerana pengiktirafan undang-undang hak tanah adat masyarakat Orang Asli.
Peguam Negara Tommy Thomas berkata kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan PAS bagi mendapatkan hak tanah adat untuk Orang Asli Temiar di Pos Simpor. – 6 Februari, 2020.
Komen