Orang Asli mohon injunksi terhadap kontraktor empangan hidro


Noel Achariam

Pekerja sedang membina struktur empangan hidroelektrik mini di sungai Geruntum di Ulu Geruntum, di Gopeng, Perak pada Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Ipoh akan mendengar permohonan injunksi difailkan oleh sekumpulan Orang Asli untuk menghentikan pencerobohan pemaju bagi membina empangan hidroelektrik mini di Ulu Geruntum, Gopeng, kata peguam.

Vinu Kamalananthan dan Conrad Lopez yang bertindak bagi pihak Orang Asli berkenaan, berkata anak guam mereka daripada suku Semai mahu pemaju terbabit berhenti menceroboh tanah adat mereka sehingga tuntutan saman utama selesai.

Pada masa sama, arahan berhenti kerja terhadap projek itu, seperti diperintahkan oleh mahkamah yang sama pada 14 Oktober, akan terus berkuatkuasa, kata mereka.

Arahan henti kerja itu dikeluarkan terhadap Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro.

“Orang Asli memohon satu injunksi terhadap pemaju supaya tidak menceroboh tanah mereka sehingga perbicaraan selesai,” kata Vinu kepada The Malaysian Insight.

Tuntutan mereka untuk menghentikan projek itu dan memohon pengiktirafan terhadap tanah adat kaum Semai difailkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Pada 2019, Orang Asli terbait membangkitkan isu berkenaan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan projek empangan itu yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak membenarkan projek itu bersambung semula dengan alasan ia perlu berbuat demikian kerana mengikut kontrak.

Projek itu membabitkan pembinaan 31 empangan mini di sepanjang tiga sungai, termasuk Sungai Kampar di Perak. Saman itu difailkan masyarakat Semai itu terhadap empangan yang menjejaskan tanah mereka.

Vinu berkata tujuan injunksi itu ialah bagi mengekalkan status quo.

Beliau berkata mahkamah akan mula mendengar perbicaraan selepas permohonan injunksi selesai.

Penduduk kampung Orang Asli itu, Wah Sona memberitahu The Malaysian Insight pada masa ini tidak ada kerja pembinaan dijalankan di tapak itu.

“Kami lega buat sementara waktu ini. Kontraktor sudah pergi, tetapi peralatan mereka maish ada di sini.”

Katanya, ramai yang hendak datang dan mendengar prosiding mahkamah tetapi tidak boleh berbuat begitu kerana pandemik Covid-19.

“Kami perlu patuh prosedur operasi standard. Hanya orang penting saja (peguam dan wakil Semai) akan datang ke mahkamah.”

Projek itu bermula dengan 25 projek hidroelektrik mini di seluruh negeri itu dan mendapat kelulusan BN pada 2012.

Enam lagi diluluskan setahun kemudian, menjadikan kos keseluruhan 31 empangan itu RM2.92 bilion.

Penduduk kampung turut mendakwa pihak konsesi, Perak Hydro memusnahkan perkuburan nenek moyang mereka serta merosakkan tanaman, ketika membina jalan untuk pembinaan itu dan menceroboh tanah mereka.

Mereka berkata projek itu juga menjejaskan flora dan fauna di kawasan itu. – 3 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen