Permaisuri Agong aktifkan semula akaun Instagram 


Chan Kok Leong

Setelah menutup akaun Instagramnya semalam, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengaktifkannya semula, menyiarkan mesej samar.– Gambar Instagram airtangan_tunkuazizah, 20 April 2021.

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengaktifkan semula akaun Instagramnya dengan mesej, sehari selepas menyahaktifkannya semalam.

“Suatu hari anda akan menceritakan kisah anda tentang bagaimana anda mengatasi apa yang anda lalui dan ia akan menjadi panduan hidup orang lain,” kata Tunku Azizah di akaun Instagramnya awal pagi ini.

Setakat pukul 5 petang ini, posting berkenaan mendapat 33,000 like dan lebih seribu komen.

Permaisuri Agong menyahaktifkan akaun itu semalam selepas menerima kritikan, menggunakan #Dengkike.

#Dengkike, masih menjadi tanda pagar utama dalam Twitter Malaysia dengan 79,200 ciapan setakat ini.

Ayat berkenaan digunakan Tunku Azizah semalam sebagai membalas seorang pengguna yang bertanya sama ada cef yaang bekerja di istana juga menerima vaksin.

Ini susulan laporan portal Asia Sentinel yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong menerima 2,000 dos vaksin Sinopharm Covid-19 yang tidak diluluskan di luar negara bagi kegunaan keluarganya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan dakwaan itu namun pihak istana masih belum memberi maklum balas berhubung isu berkenaan. 

Namun masih belum jelas mengapa Tunku Azizah mennyahaktifkan akaun media sosialnya.

Ini bukan kali pertama Permaisuri Agong menyahaktifkan akaun Instagramnya.

Pada 2019, baginda menyahaktifkan akaun Twitternya yang kemudian menyebabkan laporan polis, siasatan dan tangkapan dibuat terhadap mereka yang membuat penghinaan serta komen menghasut.

Tunku Azizah mempunyai lebih 1.2 juta pengikut di Instagramnya. – 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen