Menteri nafi Agong terima vaksin Sinopharm dari UAE


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba nafi dakwaan artikel Asia Sentinel yang berkata Agong menerima vaksin Sinopharm di UAE dan membawa pulang 2,000 dos untuk ahli keluarganya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2021.

MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba menafikan laporan portal berita berpusat di Hong Kong yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperoleh vaksin Sinofarm yang tidak diluluskan bagi kegunaan ahli keluarganya.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Adham menyifatkan laporan Asia Sentinel itu sebagai tidak berasas, sambil menambah bahawa pembelian vaksin di negaara ini perlu melalui penilaian ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Selepas penilaian yang ketat, ia kemudian perlu mendapat persetujuan daripada Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19. Bukan hanya itu, kami memastikan semua vaksin yang dibeli selamat,” kata Adham kepada The Malaysian Insight.

“Dari mana penulis mendapatkan sumber ceritanya? Beliau cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia,” tambahnya.

Laporan itu diterbitkan dua hari lalu, juga mendakwa penglibatan pemimpin tertinggi Malaysia termasuk Adham, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein. 

Ia mendakwa Agong memperoleh vaksin Sinopharm daripada Putera UAE, Mohamed Mohamed Nayan, rakan sekelas beliau ketika mereka belajar di United Kingdom.

Artikel itu juga mendakwa selain Agong, Hishammuddin, bersama dengan Peguam Negara Idrus Harun, turut diberi vaksin Sinopharm, walaupun vaksin tersebut masih belum mendapat kelulusan di Malaysia.

Laporan itu juga mendakwa Agong diberi 2,000 dos tambahan untuk keluarga dan rakan di tanah air.

“Agong memberi vaksin kepada ahli keluarganya dengan bantuan dua doktor (doktor peribadinya Dr Zulkarnain Ishmail, yang bertugas di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur dan Dr Hanafiah Harounrashid, anggota Majlis Perubatan Malaysia). Lebihan dos diberikan kepada rakan perniagaan dan kawan-kawan lain,” kata laporan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah didakwa mengarahkan serbuan di kedua-dua pejabat doktor tersebut, dan vaksin ditemui dalam simpanan Zulkarnain.

The Malaysian Insight berusaha mendapatkan komen daripada kedua-dua doktor mengenai dakwaan laporan tersebut.

“Agong dan perdana menteri campur tangan bagi menghentikan tindakan Dr Noor Hisham daripada mendakwa kedua doktor berkenaan di mahkamah kerana memiliki vaksin tidak diluluskan,” tulis artikel itu.

Sementara itu, sumber Bukit Aman berkata polis belum menerima laporan mengenai perkara itu. – 18 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen