Najib sindir kerajaan guna alasan sains, data tangguh sidang Parlimen


Ragananthini Vethasalam

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Perikatan Nasional memerlukan masa lebih seminggu untuk menjawab titah Yang di-Pertuan Agong mengenai Parlimen yang dibenarkan untuk bersidang semula semasa darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak menyindir Putrajaya kerana menyebut sains dan data sebagai salah satu sebab untuk tidak mengadakan persidangan Parlimen semasa darurat.

“Ramai yang kecewa pada sains dan data yang mengatakan bersidang dalam Dewan Rakyat adalah lebih berbahaya berbanding menonton wayang dalam pawagam, murid-murid hadir ke sekolah seluruh negara, bekunjung ke pasar malam, membuat mesyuarat persediaan PRU di hotel atau membuat majlis untuk menerima SD ahli-ahli parlimen yang melompat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata bahawa Perikatan Nasional memerlukan masa lebih seminggu untuk menjawab titah Yang di-Pertuan Agong mengenai Parlimen yang dibenarkan untuk bersidang semula semasa darurat.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata bahawa Kabinet telah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh darurat dengan alasan yang berkaitan sains dan data serta perkara berkaitan undang-undang.

Beliau berkata sebilangan besar ahli Parlimen adalah warga emas yang dianggap sebagai kes Covid-19 yang berisiko tinggi.

Menteri yang juga bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Parlimen itu berkata bahawa terdapat 77 ahli Parlimen berusia antara 60 hingga 69 tahun manakala 19 ahli Parlimen berusia antara 70 hingga 79 tahun.

Terdapat pula seramai empat ahli Parlimen berusia 80 tahun ke atas.

Tidak termasuk kerusi Parlimen Batu Sapi dan Gerik yang kini kosong berikutan kematian ahli Parlimen, terdapat 220 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Sebilangan besar ahli Parlimen kami tergolonga dalam kumpulan berisiko tinggi. Kami tidak mahu ahli Parlimen terdedah kerana kita perlu berada di kawasan terkurung.

“Apabila Parlimen bersidang, setiap ahli Parlimen akan mempunyai tidak pembantu. Jadi 220 didarabkan dengan tiga. Selain itu ada juga pegawai kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan bahawa Parlimen dapat bersidang selepas darurat berakhir pada 1 Ogos.

“Ini justifikasi kami. Tidak ada alasan lain,” kata Takiyuddin memberi jawapan kenapa sidang Parlimen tidak dapat diadakan buat masa ini. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberikan perkenan untuk mengadakan persidangan Parlimen semasa darurat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan. – 3 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen