Tiada sidang Parlimen semasa darurat, kata Takiyuddin


Ragananthini Vethasalam

Persidangan Parlimen tidak akan diadakan semasa darurat berikutan sebilangan besar ahli Parlimen adalah warga emas yang dianggap berisiko tinggi. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Mac, 2021.

SEBAHAGIAN besar ahli Parlimen adalah warga emas yang dianggap sebagai kes Covid-19 berisiko tinggi, kata Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan.

Menteri yang juga bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Parlimen itu berkata bahawa terdapat 77 ahli Parlimen berusia antara 60 hingga 69 tahun manakala 19 ahli Parlimen berusia antara 70 hingga 79 tahun.

Terdapat pula seramai empat ahli Parlimen berusia 80 tahun ke atas.

Tidak termasuk kerusi Parlimen Batu Sapi dan Gerik yang kini kosong berikutan kematian ahli Parlimen, terdapat 220 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Sebilangan besar ahli Parlimen kami tergolonga dalam kumpulan berisiko tinggi. Kami tidak mahu ahli Parlimen terdedah kerana kita perlu berada di kawasan terkurung.

“Apabila Parlimen bersidang, setiap ahli Parlimen akan mempunyai tidak pembantu. Jadi 220 didarabkan dengan tiga. Selain itu ada juga pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan bahawa Parlimen dapat bersidang selepas darurat berakhir pada 1 Ogos.

“Ini justifikasi kami. Tidak ada alasan lain,” kata Takiyuddin memberi jawapan kenapa sidang Parlimen tidak dapat diadakan buat masa ini. 

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjawab persoalan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang semasa darurat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, Kabinet sudah memaklumkan kepada Agong bahawa tidak akan ada persidangan buat masa ini.

Beliau berkata keputusan dibuat berdasarkan alasan undang-undang dan pandemik. – 3 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen