Gerakan tidak akan untungkan Perikatan, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Gerakan yang diterajui presidennya Dominic Lau dilihat tidak akan membantu PN untuk menambah bilangan kerusi pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

GERAKAN tidak akan membantu Perikatan Nasional (PN) menambah bilangan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik, mengulas penyertaan parti bekas komponen Barisan Nasional itu ke dalam parti pemerintah pimpinan Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Gerakan malah akan jadi beban kepada PN kerana sikap parti itu sebelum ini yang tidak dapat diterima oleh pengundi Melayu dan Islam, kata jurucakap kepentingan Melayu-Islam.

Pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penyertaan Gerakan hanya akan membawa untung kecil kepada PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Dalam keadaan sekarang susah untuk Gerakan menang kerusi, mungkin mereka harap kerusi majoriti Melayu mereka akan dapat (melalui rundingan kerusi).

“Yang pasti kerusi yang Gerakan (tanding PRU14 lalu) mereka tidak akan menang,” kata pensyarah di Jabatan Sosiobudaya di Universiti Malaya itu.

Awang Azman melihat PN menerima Gerakan lebih untuk menunjukkan bahawa ia sebuah parti yang terbuka kepada semua kaum dan tidak hanya mewakili Melayu dan Bumiputera.

Sebelum penyertaan Gerakan yang diumumkan pada minggu lalu, PN terdiri daripada Bersatu dan PAS, serta dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP. Kedua-dua parti Sabah itu adalah parti berbilang kaum, sama seperti Gerakan di Semenanjung Malaysia.

Jelas Awang Azman, Gerakan mengambil peluang itu, yang boleh membuka jalan untuk ia kembali mendapat tempat di Parlimen atau dewan undangan negeri.

“Saya kira PN gunakan Gerakan untuk melihatkan parti mereka tak semata-mata dikaitkan kepada Melayu dan Islam. Mereka nak tunjuk PN lebih terbuka.

“Gerakan pula cuba ambil peluang ini… mereka nak dapatkan kerusi strategik, yang mereka boleh menang dan dengan adanya kerjasama ini apabila Gerakan bertanding di satu kerusi, PN tak tanding sama,” katanya.

Namun Awang Azman melihat langkah itu akan merugikan PN dan Gerakan kerana kedua-duanya saling menjadi beban kepada satu sama lain.

Jelas beliau, Gerakan jadi beban PN kerana parti itu sudah hilang pengaruh seperti yang ditunjukkan dalam PRU14, sementara PN jadi beban Gerakan kerana parti itu tercalar dengan episod percaturan politik “pintu belakang” yang menjatuhkan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

“Gerakan menjadi beban kepada PN, PN juga jadi beban kepada Gerakan.

“Pengundi Cina kaitkan legitimasi kerajaan ini yang dianggap pintu belakang.

“Dari segi realiti politiknya kedua-duanya tak dapat manfaat besar antara satu sama lain,” tambahnya.

Gerakan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018, hampir dua bulan selepas gabungan bekas pemerintah itu kalah PRU14, dan minggu lalu diumumkan menyertai PN.

Dalam PRU14, Gerakan yang bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri kalah semua kerusi, pencapaian yang terburuk dalam sejarah parti itu sejak penyertaan pertamanya dalam pilihan raya pada 1969.

Seorang lagi penganalisis politik Muhammad Tawfik Yaakub,  bagaimanapun melihat Gerakan akan dapat menarik segelintir pengundi bukan Melayu kepada PN.

“Pengaruh Gerakan tidak besar berbanding MCA, tetapi sedikit sebanyak mampu menarik sokongan kaum Cina di kawasan kawasan tertentu,” kata pensyarah politik di Faulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Beliau contoh kawasan yang mungkin akan ditandingi oleh PAS di Kedah dan Perak, dan bagaimana jentera Gerakan boleh membantu parti Islam itu untuk mendekati pengundi bukan Melayu.

Presiden Isma Aminuddin Yahya percaya pengundi Melayu dan Islam akan terus menolak Gerakan walaupun mereka mungkin menyokong PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2021.

Parti luput

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma) Aminuddin Yahya percaya pengundi Melayu dan Islam akan terus menolak Gerakan walaupun mereka mungkin menyokong PN.

Beliau mendakwa sikap Gerakan menentang undang-undang Islam dan tulisan Jawi sebelum ini tidak membantu integrasi kaum di Malaysia.

“Kita tahu latar belakang Gerakan, macam mana sikap mereka kepada orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang, mereka tak bawa banyak nilai tambah positif kepada integrasi kaum,” katanya.

Aminuddin juga berpendapat Gerakan sudah hilang pengaruh dan tidak memberi manfaat kepada PN.

“Sebenarnya Gerakan parti dah luput, dah macam dahan mati. Saya tak pasti sebab apa PN nak ambil Gerakan. Saya tak nampak ia akan beri impak besar kepada PN.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bukti Cina tak sokong mereka,” tambahnya.

Dalam pilihan raya kecil yang dimenangi oleh BN pada November 2019, calon Gerakan Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi atau hanya 4.4%. Ia adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU14 yang disertai oleh Gerakan selepas tidak mengambil bahagian dalam lapan pilihan raya kecil sebelumnya.

Menurut Aminuddin, daripada mengambil Gerakan masuk PN, lebih baik untuk PN bekerjasama dengan parti politik Melayu lain untuk mengukuhkan kedudukan Melayu dan Islam.

“PN patut santuni parti macam Putra, Berjasa, dan Ikatan, baru ada nilai tambah dalam sokongan orang Melayu dan ada misi dan visi.

“Gerakan pula tak bawa nilai tambahan… tapi mungkin PN terpaksa kompromi. Ini langkah kurang tepat dibuat PN sebab MCA dan MIC dah ada dalam pasukan kerajaan.

“PN patut kukuhkan lagi Melayu, carilah parti Cina yang tak bawa beban seperti Parti Cinta Malaysia,” kata Aminuddin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii dalam satu komentar di Twitter menyifatkan Gerakan sebagai “duri dalam daging” semasa parti itu bersama BN, dan sekarang “duri” itu kembali mengganggu kerjasama parti-parti Melayu.

Beliau juga mendedahkan Umno sudah setuju untuk PAS, rakan kerjasamanya dalam Muafakat Nasional, bertanding di kawasan Parlimen Batu.

“Apabila parti Gerakan keluar BN, duri sembilu ini sudah terkeluar, tidak lagi menikam. Setelah Muafakat Nasional ditubuhkan, perjuangan tulisan Jawi menjadi lebih relevan.

“Setelah PN menjadi kerajaan diambil semula duri sembilu ini… semangat Muafakat Nasional yang semakin terhakis,” katanya.

Muafakat Nasional adalah kerjasama antara Umno dan PAS, yang bagaimanapun tidak disertai oleh Bersatu. Umno juga tidak menyertai PN.

Umno juga setakat ini belum memutuskan secara rasmi sama ada akan bekerjasama atau tidak dengan PN dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Tawfik berkata percaya Gerakan lebih sesuai untuk kekal bertanding di kerusi tradisinya seperti Batu, berbanding PAS.

“Saya yakin PAS akan memberi peluang kepada Gerakan untuk bertanding di Parlimen Batu, MCA sukar membantu PAS.

“PAS tidak pernah menang dan sukar menang di kerusi tersebut,” katanya.

Malah beliau juga melihat imej PN tidak tercalar dengan penyertaan Gerakan walaupun parti itu pernah menentang keras pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah rendah.

“Saya lihat kemasukan Gerakan adalah usaha untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya dan berpaut kepada gabungan politik yang lebih besar serta mampu menang dalam PRU15,” kata Tawfik lagi.

Dalam kenyataannya berhubung penyertaan ke dalam PN, Presiden Gerakan Dominic Lau menyatakan partinya akan memastikan kejayaan PN dalam PRU15.

Katanya, sebagai parti yang tidak berasaskan kaum, Gerakan akan mewakili konsep kesederhanaan dan majmuk dalam PN. – 19 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen