Gerakan masuk Perikatan, kata presiden parti


Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai mengesahkan partinya kini menganggotai Perikatan Nasional dan akan bersama komponen lain untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosioekonomi terus diberi keutamaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

PARTI Gerakan Rakyat Malaysian (Gerakan) telah diterima menyertai Perikatan Nasional (PN), menjadikannya parti politik kelima yang bergabung dalam parti utama pemerintah itu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam sepucuk surat kepada Gerakan berkata keputusan menerima parti itu menganggotai PN dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, baru-baru ini.

“Semoga dengan kemasukan Gerakan sebagai parti Anggota PN akan memantapkan lagi PN dan dapat menyumbang kepada pengukuhan kaum serta akan sentiasa bertindak dengan mengutamakan kepentingan PN,” kata Muhyiddin dalam surat bertarikh 29 Januari itu.

Salinan surat itu dilihat oleh The Malaysian Insight.

Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai, dalam satu kenyataan, mengesahkan partinya kini menganggotai PN dan akan bersama komponen lain untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosioekonomi terus diberi keutamaan.

“Gerakan akan bekerjasama dengan PN dalam menyediakan sebuah kerajaan rakyat, yang mengutamakan kesejahteraan dan kesederhanaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Gerakan adalah bekas komponen Barisan Nasional yang keluar daripada gabungan itu pada 23 Jun 2018, hampir dua bulan selepas gabungan bekas pemerintah itu kalah Pilihan Raya Umum ke-14. Ia ketika itu satu-satunya parti pelbagai kaum dalam BN.

Dalam PRU14, Gerakan yang bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri kalah semua kerusi, pencapaian yang terburuk dalam sejarah parti itu sejak penyertaan pertamanya dalam pilihan raya pada 1969. 

Semasa mengumumkan keluar BN, Gerakan berikrar mahu kembali jadi parti yang sama seperti pada tahun-tahun awal pembentukan Malaysia, yang mengangkat semangat liberal, menghormati kepelbagaian kaum dan bersikap pragmatik.

Pada September 2019, Lau mengumumkan pihaknya sudah membuat permohonan untuk menyertai PN, selepas dipersetujui pucuk pimpinan parti pada Mei sebelumnya.

PN yang disahkan penubuhannya pada Ogos 2019 dianggotai Bersatu dan PAS, serta dua parti Sabah iaitu Star dan SAPP.

Menurut Lau, sebagai parti yang tidak berasaskan kaum, Gerakan akan mewakili konsep kesederhanaan dan majmuk dalam PN.

“Gerakan akan sentiasa bersedia untuk mewakili suara rakyat marhaen tanpa mengira perbezaan kaum, bahasa, keturunan dan wilayah, serta mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan agenda rakyat Malaysia,” katanya.

Lau juga yakin PN akan jadi wadah baharu politik Malaysia, yang akan mengutamakan perpaduan dan persefahaman. – 11 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen