China sekat siaran BBC World News 


China bertindak menyekat siaran BBC World News susulan laporan mengenai penyiksaan dan keganasan seksual mengerikan terhadap wanita Uighur. – Gambar EPA, 12 Februari, 2021.

PENGAWAL selia penyiaran China mengumumkan pada Khamis menyekat siaran BBC World News dengan alasan kandungan saluran tersebut melanggar garis panduan di negara itu.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas pengawal selia United Kingdom (UK) membatalkan lesen penyiar China CGTN.

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China (NRTA) berkata laporan BBC World News mengenai China didapati “pelanggaran serius” garis panduan penyiaran, termasuk “syarat yang berita perlu benar dan adil” dan tidak “membahayakan kepentingan China”.

Langkah itu diambil selepas BBC menyiarkan laporan pada 3 Februari mengenai penyiksaan dan keganasan seksual mengerikan terhadap wanita Uighur di kem China.

NRTA “tidak membenarkan BBC meneruskan siarannya di China, dan tidak menerima permohonan tahunan baharu untuk penyiaran,” kata kenyataan dari Beijing.

BBC meluahkan kekecewaan dengan tindakan itu.

“BBC adalah penyiar berita antarabangsa paling dipercayai di dunia dan melaporkan kisah dari seluruh dunia dengan adil, tanpa berat sebelah dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata seorang jurucakap BBC.

Dalam siasatan panjang berdasarkan keterangan saksi, BBC melaporkan dakwaan pemerkosaan sistematik, penderaan seksual dan penyiksaan terhadap tahanan wanita oleh polis dan pengawal di wilayah barat China, Xinjiang.

Wilayah ini merupakan kediaman bagi minoriti Uighur yang kebanyakannya beragama Islam dan menyaksikan tindakan keras keselamatan oleh tentera China dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tindak balas terhadap rusuhan pihak pemisah.

Laporan itu menggambarkan penyiksaan melibatkan kejutan elektrik, termasuk liwat yang dilakukan pengawal menggunakan tongkat elektrik. Wanita menjadi mangsa rogol dan pemandulan secara paksa, kata saksi.

“Jeritan itu bergema di seluruh bangunan,” katanya.

Kumpulan hak asasi percaya sekurang-kurangnya satu juta Uighur dan Muslim berbahasa Turki dipenjarakan di kem di Xinjiang.

Kementerian luar negeri China menolak siasatan BBC dan menyifatkannya sebagai “palsu”.

Menteri luar negeri Britain Nigel Adams berkata laporan BBC mendedahkan “perbuatan jahat yang jelas”.

Kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson “komited mengambil tindakan tegas demi Xinjiang,” katanya, walaupun kerajaan berhenti menggunakan istilah “genosida”, dengan alasan hanya mahkamah Britain dapat membuat definisi undang-undang itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS mengulangi pandangan pentadbiran AS dulu dan baru yang China melakukan “pembunuhan beramai-ramai” terhadap masyarakat Uighur.

“Kekejaman ini mengejutkan dan harus ditanggung dengan akibat yang serius,” kata jurucakap itu.

Laporan itu juga mencetuskan kemarahan ahli politik di Australia, dan gesaan baharu terhadap China untuk memberi akses kepada pemantau hak manusia PBB untuk melawat Xinjiang.

China dituduh memaksa kaum Uighur mempromosikan propaganda komunis dan keluar daripada Islam, melakukan pemandulan terhadap wanita secara paksaan dan amalan buruh paksa.

Selepas pada mulanya menafikan kewujudan kem tersebut, China kemudian mengakuinya dan berkata ia adalah pusat latihan vokasional yang bertujuan membendung ekstremisme Islam. – AFP, 12 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen