Menteri yang tak reti, tak mengerti


Haris Hauzah

SEJAK artikel Menunggu Finas meniup nafas baru untuk tilem tempatan ditulis dalam ruangan ini kurang lebih dua bulan yang lalu, tidak ada banyak perkembangan yang berlaku dalam dunia filem dan sinema Malaysia.

Dalam tulisan itu ada dicatatkan, Finas sewajarnya membuat penilaian semula terhadap apa sahaja bermula dari 40 tahun sejak agensi itu mula ditubuhkan. Aku dalam tulisan itu cuba membuat saranan agar Finas cepat memperbetulkan keadaan. Finas harus cepat menebus segala dosa mereka kepada industri, yang pada musim pandermik sebegini tidak dipandang perlu dan penting lagi.

Peruntukan dari belanjawan yang diluluskan tahun lalu adalah sangat tidak wajar dibelanjakan sepenuhnya hanya untuk kempen, propaganda dan promosi menteri, barisan kabinet dan kerajaan yang tidak berkesan.

Maka harus digarismerahkan bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia mesti mengembalikan semula Finas ke landasannya sebagai agensi pembangunan filem. Justeru kemelut kewangan, konflik ekonomi dan krisis pandemik yang sedang berlaku sekarang ini harus dilihat sebagai suatu peluang oleh menteri dan kerajaan.

Finas melalui kementerian harus memanfaatkan kejatuhan serta kelembapan industri filem dan sinema di seluruh dunia hari ini sebagai batu loncatan melakukan perubahan melalui pelan-pelan reformasi industri.

Ketika kerajaan tak cukup majoriti dan sokongan hari ini, barangkali agak payah untuk industri ini mengharapkan bayangan akan wujud suatu dasar, akta dan polisi yang lebih menjamin ke arah industri ini mengalami pengukuhan.

Malah untuk membayangkan hal itu berlaku dalam mimpi sekalipun amat sukar. Memandangkan menteri yang menjaga urusan sinema dan perfileman hari ini lebih ghairah muncul di tivi sebagai moderator bersuara perlahan yang acah-acah merendah diri tidak akan mengkhianat teman politik sendiri. Maka itu lupakanlah peranan menteri dalam memperjuangkan hal yang satu ini.

Dalam tulisan itu, aku juga ada menggariskan akan hal perlaksanaan rombakan strategi melalui penjajaran dan pengaktifan segera elemen-elemen pengukuhan pasaran perfileman.

Hal ini harus melibatkan seluruh pemegang taruh yang terjejas ketika pandemik seperti MBO, GSC dan TGV termasuk syarikat-syarikat digital, komunikasi dan seluruh stesen tivi bersama-sama dengan syarikat produksi tempatan.

Hal ini bukanlah baru, malah semua di Finas itu maklum akan kepentingan hal filem dan pemasaran.

Namun agak dangkal dan terasa rimas apabila sejak awal tahun lalu, langkah pembaikan pasca PKP 1.0 dulu hanyalah berkisar tentang pemberian wang bantuan untuk menghasilkan lebih banyak produk filem, sedangkan dunia sinema masih sedang berantakan malah nak merangkak pun perlukan bantuan dan sokongan yang padu dan kuat.

Justeru itu, perhatian terhadap penyusunan semula seluruh instrumen ekosistem dalam industri ini amat diperlukan. Terutamanya hal yang membabitkan pembelian, penjualan dan pempameran dalam pasaran perfileman.

Antara dosa terbesar Finas pada industri sinema dan perfileman negara ini adalah kegagalan mereka memperlihatkan kepentingan dan keutamaan filem bagi sesebuah negara dan bangsa.

Finas tidak saja gagal meyakinkan rakyat negara ini bahawa filem adalah produk budaya yang harus dirai dan diberikan kredit melalui proses apreasiasi. Malah Finas gagal menjalankan fungsi besarnya untuk membangunkan industri yang sebenarnya sangat kaya dari aspek pendapatan dan potensi.

Finas dilihat gagal sepenuhnya apabila industri ini diurus secara sembarangan dan ditadbir dengan cincai. Tidak rapi dalam keputusan dan tiada ketelitian dalam pengurusan. Hal ini amat jelas dapat dilihat dari urusan-urusan pengagihan wang dana tanpa integriti dan pertanggunganjawab yang dapat komuniti industri harapkan. Sekian banyak wang dana telah dibazirkan dalam projek-projek yang menggelapkan wang tanpa hasil dan produk.

Suka atau tidak, sememangnya industri ini telah banyak membuat pembaziran. Membazirkan jutaan ringgit melalui pemberian dana awam tanpa ada apa-apa bentuk pulangan yang dapat dilihat berkesan atau boleh dibanggakan.

Seorang Saifuddin Abdullah di Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang ada hari ini tidak ada bezanya dengan seorang Radzi Jidin di Kementerian Pendidikan. Mereka sama-sama gagal melihat keutamaan dalam permasalahan.

Justeru gandingan mereka dalam isu pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di rumah gagal melihat akar masalah iaitu jurang digital yang melilit negara ini dan bukannya kerana ketiadaan tivi pendidikan.

Kemiskinan teknologi dalam kalangan rakyat tidak menteri-menteri ini cuba tangani dengan wajar. Isu keterdesakan peranti dan kepapaan akses pada internet gagal diperhati dan dicarikan solusi. Paling tidak penyelesaian berupa kerjasama bersama syarikat peranti dan penyedia perkhidmatan internet pun kerajaan ini gagal diikhtiarkan.

Industri sinema dan perfileman negara ini adalah satu industri serius yang bukan saja memerlukan keseriusan seorang menteri dan kerajaan. Malah industri ini memerlukan seorang menteri bijak dan kerajaan yang pintar dalam pentadbiran dan pengurusan.

Tidak ada faedahnya memberi ribuan ringgit berbentuk dana-dana bantuan kepada syarikat-syarikat produksi untuk mereka terus hidup dapat cari makan. Namun pada hujungnya syarikat-syarikat ini juga yang merungut kerana masih rugi dan ketinggalan berbanding dengan syarikat produksi dari negara jiran.

Industri sinema dan perfileman negara ini sebenarnya sangat terdesak dan amat memerlukan suatu pelan pelaburan. Satu “roadmap” yang menggandingkan dua tiga buah syarikat multinasional negara bersama agensi-agensi terlibat dalam membangunkan seluruh ekosistem industri ini. Maka dengan cara itu isu kualiti kandungan, strategi meningkatkan jumlah tontonan terhadap produk filem tempatan, peningkatan tahap dan taraf professionalisme dalam industri ini dapat segera diperbaiki dan dilestarikan.

Tapi tak tahulah. Barangkali industri perfileman ini tak perlukan kerajaan, kementerian atau menteri. Cukup hanya ada pelabur-pelabur yang serius dan berani. – 31 Januari, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen