Menunggu Finas meniup nafas baru untuk filem tempatan


Haris Hauzah

SEMUA tahu betapa beratnya penangan Covid-19. Kita saksikan sendiri bagaimana kestabilan ekonomi, kesejahteraan kesihatan serta keselamatan dan ketenteraman masyarakat dunia tak semena-mena tergugat.

Orang kena buang kerja dan hilang sumber mata pencarian tiba-tiba jadi fenomena biasa. Setakat ini dilaporkan sekitar 800,000 rakyat Malaysia terkesan, dan jumlah mereka yang hidup tanpa pekerjaan ini dijangka akan terus meningkat.

Penangan virus korona memang di luar jangkaan. Tiada apa yang tidak terjejas atau terkesan. Segala aktiviti baik yang di laut, udara dan darat semuanya berhadapan dengan kesulitan.

Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Berhad yang selama ini bergelut untuk dapat terus diselamatkan telah diumum tidak akan dibantu lagi oleh kerajaan. 

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang cemerlang selama ini pun goyah apabila mencatatkan 85% penurunan jumlah penumpang bagi suku tahun ketiga. Ia satu petunjuk ketara bahawa mereka teruk terjejas. 

Tidak sedikit hotel besar yang terpaksa ditutup akibat industri pelancongan yang seakan mati. Perniagaan besar dan perusahaan kecil semuanya sedang diancam oleh kemelut pandermik korona yang belum ada solusi.

Dalam situasi edan di tengah krisis kemelesetan beginilah peranan kerajaan dan fungsi agensi-agensinya ditagih agar dapat memberikan pelan pilihan agar semua dapat terus hidup dan bernafas. 

Pada 15 Oktober lalu, akhbar bisnes The Edge dalam satu laporan mengesahkan rangkaian pawagam MBO akan menutup beberapa cawangan sebagai langkah awal mengecilkan operasi. 

Dua minggu selepas laporan itu, Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) akhirnya memutuskan untuk menghentikan sementara operasi penayangan di semua pawagam di seluruh negara bermula November.

Ironinya pada waktu The Edge melaporkan situasi pawagam MBO, Finas hanya diam tidak memberikan apa-apa reaksi maklum balas. Walhal perkembangan buruk itu penting untuk Finas lihat, kaji dan rincikan secepatnya dalam perencanaan ekosistem industri sewaktu pandermik. 

Ini kerana pawagam adalah salah satu pemegang taruh utama yang berada dalam rantaian industri perfileman yang harus Finas pandang dan beri perhatian. 

Seruan Finas kepada pembikin filem untuk terus menerus menghasilkan filem melalui program “Road to Oscars” pada hujungnya harus berhadapan dengan isu-isu pasaran dan hal-hal akhir penghasilan iaitu pasaran dan keuntungan hasil dari penayangan; itulah sebabnya hal ini sangat penting untuk dilihat dan diselesaikan.

Dalam hal ini kajian berkenaan industri media, khususnya hal pengaruh serta kesan yang diasaskan oleh Thomas Guback dan Herbert Schiller harus kembali diperhatikan.

Kajian mereka merumuskan bahawa penerbit eksekutif yang mengeluarkan wang modal untuk sesebuah filem bersama agensi kerajaan harus saling bekerjasama dalam menjayakan suatu produk kebudayaan (filem). Malah inilah resepi utama yang harus ada dalam visi mengukuhkan industri filem di pasaran tempatan sebelum ia berhasil jadi produk budaya yang boleh dibawa keluar. 

Tulisan ini tidak akan menyentuh tentang segala hal dan idea berkenaan penjajahan kebudayaan. Namun dengan memetik idea dan sisi pandang sarjana komunikasi massa terkemuka seperti Thomas Guback dan Herbert Schiller, Armand Mattelart serta Robert McChesney, kita dapat memahami bahawa produk budaya Amerika seperti filem sebenarnya dihasilkan berdasarkan ideologi kapitalisme. 

Pawagam-pawagam seperti MBO, GSC dan TGV yang terkesan dan terpaksa menghentikan operasi mereka ini didirikan hasil dari idea konsumerisme dalam kerangka ideologi kapitalisme yang selama ini membantu kejayaan filem-filem Amerika. 

Malah lebih jauh dari itu, sebagaimana kata empat sarjana komunikasi massa tersebut, ia malah jadi produk budaya Amerika yang dijual ke serata dunia sebagai suatu homogen yang lebih diterima ramai dan berbentuk universal. 

Dalam situasi sekarang yang serba mendesak dan menekan, kita masih menanti-nantikan pilihan strategi dan rancangan yang bakal Finas berikan pada industri filem sebagai pilihan.

Finas sewajarnya melihat kemelut kewangan, krisis ekonomi dan isu pandemik sekarang ini sebagai suatu peluang yang harus mereka manfaatkan. Finas harus segera menyediakan segala macam jenis penyelamatan dan cepat-cepat melakukan reformasi dan perubahan.

Apa sahaja yang telah Finas tinggalkan sejak hampir 40 tahun dulu harus segera ditebus dan diperbetulkan. Salah satu antaranya ialah dengan melakukan penjajaran semula serta mengaktifkan elemen-elemen pengukuhan pasaran perfileman dengan mencari pasaran baru selain menyusun semula seluruh instrumen ekosistem dalam industri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia tidak perlu terlalu beracah-acah jadi pengacara rancangan bual bicara. Sebagai menteri beliau lebih wajar memikir, menumpu dan mengerahkan FInas untuk cepat memberikan solusi kepada seluruh para pekerja dan pemegang taruh industri. 

Apa sahaja bentuk insentif, dukungan dan sokongan jangka pendek, sederhana dan panjang yang berterusan pastinya akan dapat bertindak sebagai span yang menyerap segala masalah.

Penutupan pawagam MBO yang sedang dalam pelan pelupusan serta penutupan sementara seluruh rangkaian pawagam TGV dan GSC memberikan tanggapan buruk terhadap filem dan pasaran perfileman. Ia sekali gus merencatkan kelangsungan industri yang jarang diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Justeru, penyelesaian terbaik harus segera Finas usul dan gerakkan. – 8 November, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen