Umno kukuhkan BN, tidak payah sertai Perikatan, gesa Khaled Nordin


Mohd Farhan Darwis

BN mesti terus menjadi jenama politik yang diperjuangkan Umno, MCA dan MIC dan mana-mana parti yang mungkin terima untuk bersederhana dalam negara, kata Mohamed Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

UMNO perlu mempertahankan gabungan Barisan Nasional (BN) kerana jenama politik itu terbukti sebati dengan jiwa masyarakat majmuk di Malaysia, kata Mohamed Khaled Nordin.

Naib presiden Umno menegaskan partinya tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN), gabungan baharu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerana ia tidak memaparkan aspirasi sebenar negara berbilang kaum.

“Umno sangat jelas dengan pendiriannya… kukuhkan Muafakat Nasional (MN) adalah keutamaan dan Umno memutuskan untuk tidak sertai PN.

“Sebab utamanya kerana PN tidak mempunyai daya dan kekuatan sebenar mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Peranan itu diterajui MN. 

“PN juga tak mampu tarik sokongan bukan Melayu kerana dilihat sebagai perikatan politik parti berteraskan Melayu dan tidak lebih daripada itu,” kata Khaled, berucap merasmikan mesyuarat agung Umno Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

Khaled yang juga ketua bahagian Umno Pasir Gudang berkata kehadiran wakil rakyat bukan Melayu dalam PN tidak menggambarkan kemampuan gabungan itu seperti BN untuk mewakili masyarakat bukan Melayu.

“Perwakilan bukan Melayu dalam PN seperti hanya penyeri agar PN tampak berseri dengan menteri bukan Melayu.

“Apatah lagi apabila PN tertubuh secara ad hoc hanya di peringkat ahli Parlimen tanpa rujukan ahli, idealisme, dan ideologi jelas tanpa misi strategik untuk Malaysia.

“Jalan ke hadapan adalah dengan kukuhkan BN. BN adalah jenama politik yang sangat sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia. Ideologi sederhana, pendekatan berasas muafakat dan pentadbirannya berhasil membangunkan Malaysia moden,” katanya lagi.

Barisan Nasional terbukti sebati dengan jiwa masyarakat majmuk di Malaysia, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

Sementara itu, Khaled merakamkan penghargaan kepada MCA dan MIC yang menurutnya masih setia dengan BN.

“BN mesti terus menjadi jenama politik yang diperjuangkan Umno, MCA dan MIC dan mana-mana parti yang mungkin terima untuk bersederhana dalam negara. 

“Masakan hanya kerana tewas sekali kita tinggalkan BN biarkan ia hidup segan mati tak mahu.

“BN mesti digelorakan semula, ia mesti diperjuangkan, menjadi wadah Umno untuk beri penyelesaian kepada cabaran Malaysia majmuk hari ini,” katanya.

BN yang mempunyai 13 parti komponen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tinggal empat parti selepas kalah dalam pilihan raya umum bersejarah itu. Antaranya, empat parti di Sarawak yang kemudian membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Mengenai kerjasama dengan PAS dalam MN, Khaled berkata ia bertujuan menjana kekuatan BN.

“Saya tegas dengan pendirian (bahawa) Umno dan PAS adalah kekuatan politik ampuh namun saya tegas katakan Umno perlukan BN untuk urus sokongan bukan Melayu juga Sabah dan Sarawak.

“Tiada parti dapat bentuk kerajaan tanpa dukungan masyarajat pelbagai kaum kerana itu Umno mesti kembali ghairah kukuhkan BN dan bukan wadah lain,” tambahnya.

Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi atas nama MN pada September 2019, ketika dua parti utama Melayu itu menjadi pembangkang. 

PAS bagaimanapun selepas itu bersama Bersatu menubuhkan PN, yang tidak disertai oleh Umno dan BN.

Umno dan BN sebaliknya mengambil pendirian menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sehingga pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik sebelum ini berkata sudah sampai masanya untuk PAS membuat pilihan antara PN atau MN.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kelmarin berkata PAS tidak perlu dipaksa untuk buat pilihan kerana MN adalah platform untuk penyatuan ummah. – 2 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen