Pelancong tempatan paling terbeban dengan kenaikan kadar PSC


Asila Jalil

Kapal terbang Malaysia Airlines terusun cantik dilandasan di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kecantikan ini mungkin akan kurang dirasai terutamanya oleh pelancong tempatan apabila caj perkhidmatan penumpang akan dinaikkan bermula 1 Januari depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Disember, 2017.

PELANCONG tempatan semestinya akan paling “terkena” dan terasa dek kenaikan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.

Salah seorang pelancong, Nur Hanis Tengku Mohd Zahid menyuarakan kebimbangannya dengan kenaikan caj itu yang dikatakan agak banyak, iaitu daripada RM50 kepada RM73 untuk semua destinasi antarabangsa daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Saya tak setuju sebab kenaikan RM23 itu agak tinggi,” katanya menambah kenaikan itu akan memberi kesan besar padanya kerana beliau kerap melancong sekurangnya sekali dalam tiga bulan.

“Mungkin saya tak akan kurangkan melancong tapi (caj) itu menjadi beban buat saya,” kata wanita berusia 26 tahun itu.

Luahan hati Hanis itu turut dikongsi Dayang Nursyaza Fazlin Awang Kederi, 22, yang berkata kenaikan caj itu semestinya memberi kesan kepada pelajar yang belajar di luar negara.

“Pelajar kena berbelanja lebih. Ekonomi tak berapa bagus. Harga barang pun meningkat.

“Jadi, bagi saya, kenaikan caj lapangan terbang ini akan memberi beban terutamanya buat keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Seorang lagi warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad juga tidak bersetuju dengan kenaikan caj itu kerana akan memberi kesan besar buat penduduk tempatan.

“Kalau sekadar melancong, riadah, saya mungkin akan kurangkan melancong,” katanya ketika menajwab adakah beliau akan kurangkan melancong bila PSC dilaksanakan.

Sementara itu, Haziq Shahril berkata beliau akan berfikir da kali sebelum membuat keputusan untuk mengembara ke luar negara.

“Pelancong ada bajet sendiri tapi kenaikan caj ini akan beri kesan (menyeluruh) terhadap bajet waktu melancong kelak. Itu juga beban,” kata pelajar berusia 20 tahun itu.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sedang menyemak semula PSC bagi menyamaratakan caj di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Bermula 1 Januari depan, kadar PSC bagi semua destinasi antarabangsa dari mana-mana lapangan terbang Malaysia adalah RM73. Kini, ia RM50 untuk destinasi antarabangsa bukan Asean dari klia2 dan RM65 dari lapangan terbang lain. 

Bermula 1 Januari tahun ini, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa meningkat dari RM65 kepada RM73 di KLIA dan lapangan terbang lain manakala klia2 meningkat dari RM32 kepada RM50. 

Pada Rabu, Mavcom menjelaskan, apabila klia2 mula beroperasi, ia masih menggunakan kadar PSC yang sama dengan Terminal Tambang Murah (LCCT) yang tidak mampan untuk operasi dan penyelenggaraan lapangan terbang yang lebih maju.

Sejak 1 januari tahun ini, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa telahpun dinaikkan daripada RM65 kepada RM73 untuk KLIA dan lapangan terbang lain, manakala untuk klia kadar dinaikkan daripada RM32 kepada RM50.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes menyelar saluran media yang 'memutar belit cerita'. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, kadar baharu PSC itu akan menyusahkan orang ramai untuk melancong.

“Ada pelbagai jenis pelancong ,yang berada dan yang tidak. Kita memerlukan dua jenis lapangan terbang untuk membolehkan lebih banyak orang yang tidak berpeluang untuk mengalami apa yang dialami golongan berada,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kenaikan itu merupakan langkah untuk menyelamatkan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) yang sedang dibebani hutang.

Pua berkata, kemudahan dan perkhidmatan di klia2 adalah “jauh berbeza daripada KLIA” kerana ia “tidak pernah diniatkan, direka atau dibina untuk menjadi terminal kekal kedua untuk KLIA”.

“Jika MAHB dan Mavcom berkeras mahu menaikkan bayaran di klia2, mereka perlu membuktikan yang klia2 setanding dengan KLIA supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya. – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen