Buktikan klia2 dan KLIA setanding untuk naikkan caj penumpang, kata Tony Pua


PIHAK berkuasa lapangan terbang perlu membuktikan yang klia2 setanding dengan KLIA dalam aspek kemudahan dan perkhidmatan atau mereka sebenarnya gagal menjustifikasikan penyamaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) antara dua lapangan terbang itu, kata wakil rakyat DAP, Tony Pua hari ini.

Beliau menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk membatalkan keputusan menaikkan caj PSC untuk destinasi bukan Asean di klia2 kepada RM73 berbanding RM50 sebelum ini supaya sama dengan caj dikenakan di KLIA.

Pua berkata kemudahan dan perkhidmatan di klia2 adalah “jauh berbeza daripada KLIA” kerana ia “tidak pernah diniatkan, direka atau dibina untuk menjadi terminal kekal kedua untuk KLIA”.

“klia2 dibina dan sentiasa dimatlamatkan untuk menjadi pusat penerbangan tambang murah antarabangsa, dan dibina untuk menampung perkembangan AiAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah paling pantas berkembang di rantau ini,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika MAHB dan Mavcom berkeras mahu menaikkan bayaran di klia2, mereka perlu membuktikan yang klia2 setanding dengan KLIA supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, maka tidak dapat diragukan yang kenaikan tambang itu adalah untuk memberi lebih banyak keuntungan untuk MAHB, terutama sekali apabila MAHB berhutang berbilion ringgit bagi membiayai projek pembinaan klia2 berjumlah RM4 bilion yang bermasalah,” katanya yang merujuk kepada kos tinggi pembinaan klia2.

Semalam, Mavcom memberitahu The Malaysian Insight yang tidak wajar klia2 terus mengenakan caj PSC pada kadar digunapakai Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini kerana lapangan terbang baru itu lebih maju dan mempunyai kos pengurusan yang tinggi.

Kenyataan itu dibantah Pua yang mengatakan situasi itu berlaku kos pembinaan klia2 yang dilabelkan sebagai “terminal hibrid” pada 2013 terlalu tinggi.

Pua menambah yang Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) membenarkan perbezaan caj antara lapangan terbang dan terminal berasaskan kemudahan dan kualiti yang ditawarkan, dan MAHB tidak mengikuti garis panduan ini.

“Dasar ICAO secara jelas mengatakan, secara umumnya, operator penerbangan dan pengguna lapangan terbang lain, termasuklah penumpang tidak wajar dikenakan caj untuk kemudahan dan perkhidmatan yang tidak mereka gunakan,” katanya. – 21 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen