Langkah selaras kadar PSC tidak wajar, kata Tony 


Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata pihaknya cuba menyediakan apa sahaja dengan kos rendah bagi membolehkan orang biasa menyimpan impian dan menaiki penerbangan.– Gambar Youtube, 17 Disember, 2017.

MALAYSIA memerlukan lapangan terbang kos rendah dengan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang berbeza bagi membolehkan semua orang berpeluang menaiki penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah pengawal selia lapangan terbang, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyamakan kadar PSC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Ada syarikat penerbangan tambang murah, hotel kadar murah dan kereta berharga murah, kenapa kita tidak boleh ada lapangan terbang kos rendah? Bukan satu itu sesuai untuk semua orang. Kami berusaha memastikan caj ERL (Express Rail Link Sdn Bhd) yang lebih rendah, menggalakkan bas tambang murah serta UBER  dan Grab. Apa sahaja yang kos rendah bagi membolehkan orang biasa menyimpan impian dan menaiki penerbangan,” katanya dalam catatan Twitternya hari ini.

Mulai Januari tahun depan, PSC antarabangsa di klia2 akan dinaikkan dari RM50 kepada RM73, yang sama dengan kadar bagi pelepasan antarabangsa di KLIA.

Bagi perjalanan domestik pula, PSC ditetapkan pada RM11 untuk semua lapangan terbang, dari RM9 (KLIA), RM6 (klia2) dan RM9 (lapangan terbang lain).

Syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum ini mendesak Mavcom agar mengambil kira perbezaan dari segi kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di klia2 dan KLIA sebelum menyeragamkan PSC.

Fernandes berkata beliau kecewa dengan langkah itu, dengan berkata: “Mengapa saya tidak berpuas hati dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan MAVCOM kerana saya mahu semua orang berpeluang untuk menaiki penerbangan.

“Ada pelbagai jenis pelancong ,yang berada dan yang tidak. Kita memerlukan dua jenis lapangan terbang untuk membolehkan lebih banyak orang yang tidak berpeluang untuk mengalami apa yang dialami golongan berada,” katanya. – Bernama, 17 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen