Industri pelancongan bersedia untuk pulih kembali


Noel Achariam

Kelonggaran perjalanan rentas negeri dan daerah akan membantu industri pelancongan pulih setelah sejak berbulan-bulan lamanya merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

PEMAIN industri pelancongan bersedia untuk kembali merancakkan perniagaan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) berikutan langkah kerajaan membenarkan perjalanan antara negeri dan antara daerah.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kelonggaran perjalanan rentas negeri dan daerah akan membantu industri pelancongan pulih setelah sejak berbulan-bulan lamanya merosot.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang menyambut baik keputusan kerajaan dan berharap ia akan memulihkan industri pelancongan.

“Kami mengalami kejatuhan yang teruk dalam tiga bulan kebelakangan ini dan ia pastinya merupakan berita yang bagus.

“Kami berharap dalam beberapa bulan akan datang keadaan di seluruh negara akan stabil dan lebih banyak sektor dapat dibuka.

Perjalanan antara negeri dan daerah dibenarkan untuk semua negeri kecuali kawasan yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Pengumuman itu dibuat dua hari sebelum berakhirnya PKPB yang dilaksanakan hampir di seluruh negara.

Walaupun PKPB diteruskan di beberapa kawasan seperti kebanyakan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, peraturan baharu perjalanan berkuat kuasa bermula semalam (7 Disember).

Ismail Sabri juga berkata, permit polis juga sudah tidak diperlukan untuk perjalanan rentas negeri, selain tidak ada had bagi jumlah penumpang, bergantung kapasiti maksimum kenderaan.

Tan berkata, 3,200 anggota Matta akan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti SOP kerana mereka mahu perniagaan kembali pulih.

“Kami juga berharap dapat melihat lebih banyak kelonggaran apabila jumlah jangkitan Covid-19 menurun,” tambahnya.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berkata, sejak PKP sehingga November industri pelancongan telah mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM45 bilion.

Untuk memastikan perniagaan pulih kembali, industri perlu menyesuaikan diri dan mematuhi SOP Covid-19, katanya.

Oleh kerana akhir tahun, ramai akan membuat rancangan perjalanan untuk bercuti, jadi SOP mesti dipatuhi.

“Sangat penting untuk mematuhi SOP bagi memastikan persekitaran kita selamat.

“Kita sudah lama mengikuti SOP tetapi kami berharap semua pemain industri akan lebih ketat.”

Tambah Uzaidi, dianggarkan 1,000 pengendali industri mengambil program untuk menyesuaikan diri dengan Covid-19 di bawah Malaysia Productivity Corporation.

“Ini adalah program bertaraf antarabangsa untuk mempersiapkan pemain menghadapi pandemik.

“Ia menetapkan standard, contohnya, berapa kali bilik hotel perlu disanitasi, kolam renang dibersihkan dan tempat awam dibasmi kuman, antara lainnya.”

Beliau juga berharap agar peruntukan RM200 juta oleh kerajaan untuk Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Belanjawan 2021 diberikan segera.

Pelan pemulihan itu merangkumi inisiatif seperti diskaun untuk pelancong, pakej percutian keluarga, promosi seni dan budaya, baucar penginapan dan kempen. – 8 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen