KERAJAAN mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebahagian Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor bermula 7 Disember.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu antara lain mengambil kira kerugian sehingga RM300 juta yang ditanggung setiap hari sekiranya kawalan tersebut dilanjutkan.
Beliau juga mengumumkan perjalanan antara negeri dibenarkan ke semua kawasan dalam negara kecuali untuk kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
PKPD itu melibatkan Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang, Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah di Kampung Dalam Huma di Pasir Puteh, Kelantan dan di Depoh Tahanan Imigresen Langkap di Perak, katanya.
Di Putrajaya dan Labuan, PKPB ditamatkan sepenuhnya bermula 7 Disember dan dilanjutkan di Kuala Lumpur, Sabah dan sebahagian besar Selangor, katanya.
Jelasnya di Selangor, PKPB dilanjutkan hingga 20 Disember di kecuali di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Di Negeri Sembilan pula, PKPB diteruskan di Seremban dan Port Dickson.
Di Pulau Pinang kawalan itu diteruskan di Mukim 12 (Daerah Barat Daya) dan Mukim 13 (Daerah Timur Laut) yang juga dikenakan PKPD.
Di Kelantan, PKPB diteruskan di tiga jajahan – Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah manakala di Perak, kawalan itu diteruskan di dua mukim dalam daerah Kinta – Teja dan Changkat Jong, katanya.
Di Johor pula PKPB ditamatkan di Mersing dan dilanjutkan di Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai, kata beliau dalam sidang media yang disiar langsung.
Walau PKPB berakhir, semua kawasan dan negeri terlibat masih tertakluk bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember, katanya. – 5 Disember, 2020.
Komen