PERJALANAN rentas negeri akan dibenarkan bagi semua kawasan di seluruh negara kecuali kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD), kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata rakyat Malaysia juga tidak perlu mendapatkan keizinan polis untuk melakukan perjalanan ke negeri lain.
“Dari 7 Disember, tidak akan ada lagi sekatan jalan polis. Walaupun tidak ada sekatan jalan raya, polis akan terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) diikuti,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
PKPD itu melibatkan Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang, Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah di Kampung Dalam Huma di Pasir Puteh, Kelantan dan di Depoh Tahanan Imigresen Langkap di Perak, kata menteri itu lagi.
Ismail Sabri juga turut menambah bahawa kapasiti penumpang bagi semua jenis kenderaan juga tidak dibataskan.
“Jika kapasiti kenderaan adalah empat orang, maka empat orang dibenarkan dalam kenderaan. Jika MPV dapat bawa tujuh orang, maka mereka semua dibenarkan melakukan perjalanan.”
Ismail Sabri juga berkata bahawa orang ramai dibenarkan masuk ke Sabah untuk tujuan sosial.
“Warga asing yang tidak mempunyai pasport jangka panjang mesti mendapat kelulusan khas daripada kerajaan Sabah.
“Semua individu yang memasuki Sabah melalui udara, laut dan darat mesti menjalani saringan Covid-19 tiga hari sebelum melakukan perjalanan.
“Hanya individu yang tidak mempunyai gejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan memasuki Sabah.”
Beliau juga turut berkata bahawa kebenaran daripada polis untuk melakukan perjalanan keluar dari Sabah dan rentas daerah tidak lagi perlu dilakukan. – 5 Disember, 2020.

Komen