Kerajaan digesa perjelas kekeliruan kebenaran operasi taska, tadika di zon hijau


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Beberapa negeri zon hijau keliru dengan kebenaran dan larangan operasi tadika dan taska yang berlainan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

AHLI Parlimen pembangkang mendesak kerajaan menjelaskan kekeliruan mengenai prosedur standard operasi (SOP) berhubung operasi taska dan tadika membabitkan negeri zon hijau.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mendakwa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pahang membenarkan taska beroperasi.

Bagaimanapun, tadika pula diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan biarpun Pahang termasuk dalam senarai negeri zon hijau.

Katanya, keadaan tambah mengelirukan apabila Johor dan Melaka mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan membuka operasi tadika sebaik sahaja dua negeri itu ditamatkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Jika kita bandingkan di Pahang, sehingga sekarang biarpun negeri itu dalam kategori zon hijau dan tiada kes Covid-19 aktif tetapi semua tadika ditutup.

“Jadi ini adalah satu contoh yang baik ditunjukkan kepada kita bahawa tidak ada konsisten dalam pelaksanaan SOP dan arahan yang dibuat agensi kerajaan.

“Saya fikir menteri kita harus sentiasa berkomunikasi dan kalau tiada mesyuarat pun mereka sepatutnya menggunakan sahaja aplikasi WhatsApp,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menambah pengusaha tadika dan taska menjadi mangsa situasi.

Katanya, terdapat banyak aduan daripada pengusaha taska di negeri mengenai SOP tersebut.

“Minggu lepas kita bermesyuarat dalam talian dengan operator tadika di Pahang yang mengadu tiada siapa yang membela nasib mereka.

“Ada yang sampai menangis kerana mereka betul-betul terdesak untuk membayar gaji guru dan jika keadaan ini berterusan, mereka tidak akan mampu bertahan.

“Justeru, kita minta selaraskan semua peraturan dan jika ada nombor operator yang boleh dihubungi pastikan ada jawapan untuk mereka,” katanya.

Yeoh berkata petisyen mengenai hal itu sudah dibuat dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dua minggu lepas namun sehingga hari ini masih tiada maklum balas diberikan.

Perkara itu juga dibangkitkan oleh Yeoh kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof semasa sesi penggulungan jawapan menteri bagi Belanjawan 2021 pagi tadi.

Bagaimanapun menteri itu tidak memberikan jawapan yang jelas dan menolak wujudnya kekeliruan dalam SOP.

Beliau berkata SOP yang dikuatkuasa sangat jelas dan penambahbaikan sudah dilakukan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan situasi terkini.

“Tiada kekeliruan. SOP sangat jelas, cuma penyampaian maklumat mungkin lambat dan mungkin boleh diseragamkan mengikut SOP yang dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita akan bawa dalam sidang MKN. Kami akan semak apa yang menjadi pertikaian,” katanya. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen