KERAJAAN harus menetapkan undang-undang khusus penjualan minuman keras di pelbagai kedai dan bukan melarang penjualannya, kata Majlis Perundingan Malaysia Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST).
Kumpulan itu menggesa kerajaan mengikuti contoh negara yang menguatkuasa undang-undang penjualan dan penggunaan minuman keras, bukan larangan menyeluruh.
Kumpulan itu turut merujuk keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melarang jualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka. Ia akan dilaksanakan Oktober depan di Wilayah Persekutuan.
Kumpulan agama itu berkata larangan secara menyeluruh tersebut tidak sejajar dengan perlembagaan.
“Situasi Covid-19 menjadikan perniagaan menghadapi kesukaran dan larangan penjualan secara menyeluruh akan memburukkan lagi keadaan,” kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.
“Untuk mengenakan larangan menyeluruh di kedai runcit, kedai serbaneka, dan TCM mulai 1 Oktober 2021 akan menjadikan perkara ini tidak sejajar dengan perlembagaan kerana melanggar hak non-Muslim berdasarkan Artikel 11.”
Berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan, Kebebasan Beragama tidak boleh dilanggar bahkan ketika Darurat (Perkara 150 (6A) dilaksanakan.
“Pemilik perniagaan berkata bahawa larangan menyeluruh ini melanggar hak mereka, selain bersifat anti perniagaan dan menjadikan mereka sebagai mangsa walaupun mereka adalah pemilik perniagaan yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai,” kata kumpulan itu.
“Beberapa penganut agama bukan Islam termasuk Orang Asli Sabah dan Sarawak mengambil minuman keras semasa upacara kebudayaan dan keagamaan,” kata kumpulan itu.
Bagaimanapun, kumpulan itu berkata ia menyokong larangan ketika memandu, menghadkan penjualan minuman keras kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, mengehadkan penjualan minuman keras dalam tempoh tertentu atau mengenakan syarat lain yang munasabah.
Kenyataan bersama itu ditandatangan oleh Presiden MCCBCHST, Uskup Agung Julian Leow Beng Kim dari Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Ketua Majlis Gurdwara Malaysia, Jagir Singh, Hindu Sangam Malaysia, RS Mohan Shan, Gabungan Persatuan Taois Malaysia Dao Zhang Tan Hoe Chieow dan Sing Kan dari Persatuan Buddha Malaysia. – Bernama, 28 November, 2020.
Komen