Kawal selia arak melalui undang-undang persekutuan, kata Pemuda Umno


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuklah mengisi kelompongan perundangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2020.

PENJUALAN dan pengambilan arak sepatutnya dikawal selia melalui undang-undnag persekutuan dan bukan lagi hanya dengan undang-undang pihak berkuasa tempatan, kata Pemuda Umno, dalam cadangannya kepada kerajaan untuk menangani masalah kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata undang-undang persekutuan untuk mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras itu penting sebagai langkah jangka panjang kerajaan menangani isu itu, yang katanya menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Untuk langkah jangka panjang, sudah tiba masanya pihak kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuklah mengisi kelompongan perundangan dengan memperkenalkan akta dalam mengawal selia dengan tegas aspek penjualan dan pengambilan minuman keras di peringkat persekutuan.

“Ketiadaan undang-undang khusus di peringkat persekutuan untuk mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras, melainkan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan pasti menyulitkan penguatkuasaan dan pencegahan yang menyeluruh dan seragam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi memberi contoh larangan pengambilan minuman keras selepas waktu tertentu di sesetengah negara termasuk Singapura yang boleh dijadikan panduan.

Sebagai langkah jangka pendek pula, Pemuda Umno mahu cadangan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibawa sebagai antara usul utama pada sidang Parlimen yang dijadual bermula pada 13 Julai ini.

Pemuda Umno juga mahu pindaan itu bukan saja mengenakan hukuman keras ke atas pesalah tetapi mereka juga dilarang memandu seumur hidup, kata Asyraf Wajdi.

Pemuda Umno memberikan cadangan itu selepas sekurang-kurangnya tiga kemalangan melibatkan pemandu mabuk, yang membunuh dua mangsa dalam dua kejadian berasingan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam berkata pihaknya akan memuktamadkan pindaan tersebut menjelang pertengahan Jun, termasuk mengambil kira pandangan umum yang dikutip melalui kaji selidik yang sedang dibuat.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke juga berkata pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah siap semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan sepatutnya dibawa ke Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini.

Semalam, seorang pemandu yang disyaki mabuk direman empat hari sehingga Jumaat ini setelah menyebabkan kematian seorang pemandu lain di Kuantan, Pahang. Siasatan polis mendapati suspek memandu secara melawan arus dan merempuh kereta mangsa.

Jumaat lalu, seorang lelaki yang dipercayai mabuk memandu dalam keadaan melulu di sebuah tapak gerai di Bandar Sentosa, Hulu Selangor, menyebabkan lima orang cedera.

Awal bulan ini, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pula maut dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Semalam, PAS mencadangkan agar kerajaan menggantung dahulu pengeluaran dan penjualan arak, termasuk yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka 24 jam,  sehingga isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat ditangani.

Sama seperti cadangan PAS, Pemuda Umno juga mengusulkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dianggotai beberapa kementerian untuk bertindak segera menangani isu ini. – 27 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen