Gantung dulu pengeluaran, penjualan arak, kata PAS


Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata masalah pengeluaran dan penjualan arak tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan nyawa mereka yang tidak bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

PAS mahu kerajaan menggantung dahulu pengeluaran dan penjualan arak, termasuk yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka 24 jam,  sehingga isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat ditangani.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan nyawa mereka yang tidak bersalah.

“Melihat kepada kekerapan isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini, PAS dengan ini mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara penggantungan itu berjalan, Putrajaya perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dianggotai beberapa kementerian untuk bertindak segera menangani isu tersebut, tambahnya.

“Nyawa orang awam adalah satu keutamaan yang harus difikirkan oleh kerajaan secara serius kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya,” katanya.

Kenyataan parti Islam itu menyusul laporan kemalangan di Kuantan, Pahang malam tadi apabila seorang pemandu yang disyaki mabuk memandu secara melawan arus dan merempuh sebuah kereta.

Pemandu kereta yang dirempuh, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek yang berumur 42 tahun direman empat hari bermula hari ini.

Jumaat lalu, seorang lelaki yang dipercayai mabuk memandu dalam keadaan melulu di sebuah tapak gerai di Bandar Sentosa, Hulu Selangor, menyebabkan lima orang cedera.

Awal bulan ini, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) maut dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk. 

Dalam kenyataannya, Kamaruzaman turut memetik data Pertubuhan Kesihatan Sedunia tahun 2016 yang katanya meletakkan Malaysia di tempat ke-10 dalam senarai negara yang banyak mengambil alkohol.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana rakyat Malaysia berbelanja lebih RM2 bilion setahun untuk minuman beralkohol pada kadar purata 15 liter per kapita.

Semakan ke atas data WHO yang terbit pada 2018 itu bagaimanapun menunjukkan rakyat Malaysia mengambil alkohol purata 3.1 liter setahun, yang dianggarkan menurun dari 0.9 liter pada 2020 kepada 0.8 liter pada 2025.

Malaysia juga bukan antara 10 negara pengguna alkohol utama dunia seperti kata Kamaruzaman, sebaliknya senarai negara itu diatur mengikut abjad dalam kalangan negara-negara rantau Pasifik Barat, bersama antaranya Australia, Jepun dan Singapura.

Kenyataan PAS, yang kini merupakan sebahagian parti pemerintah di Putrajaya, muncul ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah setuju pada prinsip untuk mengetatkan undang-undang membendung kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke berkata pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepatutnya dibawa ke Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini.

Pindaan itu antara lain melibatkan peruntukan Seksyen 44 mengenai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, dan Seksyen 45g mengenai ujian pernafasan, darah dan air kencing.

Cadangan pindaan itu terbantut selepas kerajaan PH digantikan oleh Perikatan Nasional pada hujung Februari.

Sejak jadi kerajaan baharu, pentadbiran Muhyiddin menumpukan segenap fokus kepada usaha membendung penularan Covid-19 serta kesannya kepada sosioekonomi Malaysia. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen