Anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk 


SEORANG anggota polis maut dilanggar kenderaan dipandu pemandu yang dipercayai mabuk, ketika bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berkata hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas, sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata laporan polis telah dibuat oleh penyelia SJR  manakala pemandu Hilux itu yang turut mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa, yang berasal dari Ipoh, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat. – Bernama, 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen