PEMUDA Bersatu menuntut kerajaan menjelaskan arahan membenarkan satu syarikat arak terus beroperasi ketika banyak syarikat lain diarah tutup sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.
Sayap parti itu juga membangkitkan, kerajaan Melayu Islam Perikatan Nasional tidak wajar memberi kelebihan kepada syarikat memproses minuman keras beroperasi waktu ini.
Kenyataan sayap parti itu menyebut, produk tersebut jelas haram dari sisi Islam dan bukan perkhidmatan penting sewaktu PKP.
“Ribuan perniagaan halal dan milik Bumiputera terjejas akibat Covid-19 dan PKP terutamanya bagi industri kecil dan sederhana.
“Mengapa pengecualian khas diberikan kepada kilang arak Heineken ini sedangkan terang terangan perniagaan mereka adalah haram?
“Adakah kerana kilang ini mempunyai kaitan dengan orang berkepentingan?” soal pemimpin pergerakan itu dalam satu kenyataan.
Ia turut menuntut penjelasan kerajaan sama ada pembekalan dan pengeluaran arak benar-benar termasuk dalam kategori pembekalan dan pengeluaran makanan.
Kenyataan dikeluarkan Exco Pemuda Bersatu Abu Hafiz Salleh Huddin dan ketua penerangannya Ulya Aqamah Husamudin merujuk satu surat bertarkh 31 Mac berhubung kebenaran itu yang tular semalam.
Dokumen dengan kepala surat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu antara lain membenarkan Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi waktu PKP.
Gambar dokumen itu menunjukkan ia ditandatangani Ketua Setiausaha KPDNHEP Hasnol Zam Zam Ahmad ditujukan kepada Pengurus Besar Heineken Malaysia Bhd.
Ia antara lain menyebut, Heineken dibenarkan beroperasi kerana memenuh syarat operasi sektor pembekalan makanan.
“Berhubung permohonan tuan/puan pada 24 Mac 2020, setelah meneliti dan menyemak yang dikemukakan kementerian mendapati permohonan tuan/puan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.
“Sehubungan itu, kementerian mengesahkan dan bersetuju bahawa aktiviti perniagaan tuan/puan boleh dibuka bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP,” dokumen itu dipetik.
Heineken Malaysia dalam satu kenyataan di laman webnya bertarikh semalam mengesahkan mendapat kebenaran untuk beroperasi waktu PKP.
Ia menyebut, perusahaannya dibenarkan beroperasi dengan jumlah kakitangan minimum dalam tempoh perntah itu.
Kenyataan itu turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana memberi kebenaran tersebut yang dapat memastikan produknya dapat dibekalkan secara berterusan kepada pengguna.
Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang menggesa tindakan segera diambil berhubung kebenaran kepada Heineken untuk beroperasi, seperti didakwa.
Dalam kenyataannya di Twitter, Annuar berkata, kebenaran yang diberikan itu tidak selari dengan keputusan kerajaan menetapkan hanya perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi.
“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan, tindakan perlu diambil segera,” katanya di Twitter.
Gesaan sama disuarakan Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad yang menuntut kelulusan tu dipertimbangkan semula kerana perkhidmatan Heineken Malaysia bukan keutamaan.
“PAS berpandangan pengeluaran minuman keras bukanlah satu keutamaan bahkan tidak termasuk kategori perkhidmatan penting.
“PAS konsisten dengan prinsip bahawa arak menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” katanya yang menambah parti itu akan menyuarakan gesaan salam mesyuarat Kabinet.
Beliau turut memberi jaminan PAS menghormati hak bukan Islam untuk minum minuman keras namun tegasnya perkara itu bukan keperluan dalam waktu krisis.
The Malaysian Insight sedang berusaha mendapatkan penjelasan KPDNHEP. – 6 April, 2020.
Komen