PERUSAHAAN kecil dan kumpulan pendapatan B40 akan menerima pelanjutan moratorium “automatik” tahun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
“Kumpulan M40 pula hanya perlu melakukan pengakuan diri dan tak perlu menghantar dokumen,” katanya pada penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
“Mereka yang tidak berada di bawah kumpulan ini boleh memohon secara berasingan,” tambahnya.
Walaupun begitu, Bank Negara Malaysia dalam penjelasan lanjut berkata, peminjam perlu menghubungi pihak bank mereka dan memilih antara pelanjutan moratorium atau pengurangan ansuran bulanan, tetapi kebenaran akan diberikan secara automatik.
Bagi kumpulan T20 pula, Tengku Zafrul bertanya adakah adil untuk mereka juga mendapat moratorium pinjaman.
Katanya, kerajaan bagaimanapun terbuka untuk berbincang dengan sektor perbankan bagi membantu mereka yang terjejas kerana pandemik Covid-19.
“Prinsip utama di sini adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah adil untuk orang kaya juga dapat moratorium bila mereka mampu (bayar)? Bukankah lebih baik untuk bayar pinjaman mereka supaya ada duit yang masuk ke dalam sistem perbankan?” katanya.
Katanya, moratorium awal sebelum ini dinilaikan pada RM100 bilion selama enam bulan.
“Sejak Oktober, lebih daripada 700,000 permohonan moratorium pinjaman diterima dan 98% telah diluluskan.”
Katanya, Belanjawan 2021 ditambahbaik di mana B40, perusahaan kecil dan M40 juga mendapat moratorium pinjaman.
Selepas tamatnya moratorium sebelum ini pada September, sekitar 85% peminjam sudah mula membayar semula pinjaman mereka, kata Tengku Zafrul lagi.
Sepanjang perbahasan Belanjawan 2021, Pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional Najib Razak memberitahu Putrajaya yang sokongan BN terhadap belanjawan itu bergantung kepada isu moratorium pinjaman dan pengeluaran KWSP.
Pembangkang, Pakatan Harapan, pula mahu kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk Kementerian Kesihatan bagi melawan pandemik Covid-19, meluaskan moratorium pinjaman, meningkatan bantuan kewangan kepada RM1,000 sebulan dan menaikkan peruntukan pendidikan. – 26 November, 2020.
Komen