Pakatan tuntut 6 perkara utama dalam Belanjawan 2021


Rundingan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul tak bermakna Pakatan Harapan terima kerajaan Perikatan Nasional, kata pemimpin ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 November, 2020.

PERSETUJUAN melakukan rundingan untuk memberi pandangan bagi Belanjawan 2021 tidak bermakna menerima keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin pembangkang.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini berkata kerjasama ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk bekerjasama bagi menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Kami ingin menekankan proses rundingan ini dilaksanakan dengan niat yang baik. PH komited untuk bekerja dengan semua pihak bagi memerangi Covid-19, dengan hasrat menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.

“Pun begitu, proses rundingan ini tidak bermakna sokongan atau penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan ini,” kata pemimpin tersebut dalam satu kenyataan.’

Ia ditandatangani bersama oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Menurut mereka, enam cadangan utama dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Ia dikemukakan dalam pertemuan yang berlangsung hari ini antara pemimpin berkenaan di pejabat kementerian di Putrajaya hari ini.

Menurut mereka, tuntutan utama melibatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit.

Ia turut menuntut pemerkasaan perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan pelanjutan moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021.

Selain itu, ia menuntut lanjutan program subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021, mewujudkan 600,000 pekerjaan dan peningkatan peruntukan pendidikan.

PH juga menuntut agar dua projek utama ditumpukan – Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan naik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

Pada masa sama, PH berpeluang mendesak kerajaan menerapkan dasar fiskal yang mengembang dengan tujuan utama untuk meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan syarikat, kata mereka.

“Dalam pertemuan itu, kami mengajukan banyak pertanyaan dan meminta menteri untuk mendedahkan dan berkongsi data fiskal yang penting.

“Kami juga mencadangkan dan menjelaskan banyak idea dan dasar belanjawan Pakatan Harapan,” kenyataan itu dipetik.

Pemimpin PH turut mengalu-alukan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan mengisytihar darurat dan titah untuk semua ahli Parlimen bekerjasama.

“Ia juga peluang untuk mempertahankan demokrasi dan menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih lestari dan saksama,” kata mereka. – 1 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen