SELAKU aktivis PKR, Eekmal Ahmad tidak pernah bermimpi yang satu hari nanti beliau akan berkongsi pentas dengan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin, tokoh nasional yang selama ini dilihat rapat dengan rejim Barisan Nasional yang ditentang partinya.
Malah, lebih mengejutkan apabila Daim, seorang yang dikatakan sangat berpengaruh sehingga mampu memberi kesan kepada pasaran saham pada zaman gemilangnya, sebenarnya sangat berminat kepada apa yang ingin dikatakan anak muda sepertinya tentang negara dan hala tuju bangsa.
Pengalaman dan pandangan Daim adalah cerminan terbaik untuk menilai kembali andaian tentang kerajaan, dasar awam dan masyarakat seperti mana yang diperjuangkan Eekmal selama ini sebagai generasi reformasi anti BN era lewat 90-an.
“Kami tak percaya semua benda yang dia cakap tapi ada beberapa (perkara) yang bantu kami untuk tengok gambaran yang lebih besar dalam menguruskan negara sekompleks negara kita,” kata Eekmal yang merupakan moderator sesi dialog dianjurkan Malaysia Baru.
“Kami lihat perspektifnya mengapa mereka buat apa yang mereka buat,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.
Pengalaman Eekmal itu merupakan rangkuman apa sebenarnya usaha Malaysia Baru yang baru sahaja berusia tiga bulan itu- bagi membantu ahli politik muda Pakatan Harapan dan yang mereka yang berkecuali mendapatkan gambaran menyeluruh tentang cabaran dan kompleksiti negara ini.
Diharapkan dengan gambaran itu, kata Eekmal lagi, ia boleh mempersiapkan pemimpin muda ini untuk bersedia apabila sampai masanya mereka mengambil peranan yang lebih besar dalam parti masing-masing.
Usaha Malaysia Baru dilaksanakan dengan memberikan peluang kepada anak muda mengadakan perbincangan jujur dan telus dengan pemimpin veteran seperti Daim, dan pada September lalu dengan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Januari nanti pula, ia merancang untuk mengadakan dialog dengan bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun begitu, ia tidak bermaksud hanya ahli politik veteran sahaja akan dilibatkan, kata salah seorang pengasas Malaysia Baru, Dr Afif Bahardin yang juga merupakan timbalan ketua Pemuda PKR dan Adun Seberang Jaya.
Dua daripada empat dialog yang sudah dianjurkan menampailkan aktivis pergerakan masyarakat sivil seperti Adam Adli dan peguam, Syahredzan Johan, serta dengan pemimpin pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Ia adalah platform di mana pemimpin muda dan mereka yang membentuk pandangan (awam) boleh duduk bersama untuk berbincang bukan sahaja tentang kerisauan negara ini tetapi untuk mencari penyelesaian masa depan,” kata Dr Afif yang memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Negeri Pulau Pinang untuk Pertanian dan Industri berasaskan Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.
Pada dialong bersama Daim misalnya, Eekmal berkata yang bekas menteri kabinet yang masih ahli Umno itu berkongsi pandangan tentang keseimbangan keperluan menarik pelabur asing dan menjaga kedaulatan negara.
“Dia sendiri mengakui yang dia datang dari ‘Malaysia lama’ dan dia seorang nasionalis sejati. Jadi dia sangat berhati-hati tentang urus niaga dengan pelaburan luar dan asing, dan dia beri sebabnya.”
Eekmal berkata pandangan Daim tentang pentadbiran kini yang beria-ria menarik pelaburan dari China sangat bagus. Ia mencabar pandangan sedia ada bahawa China adalah pelabur yang baik.
Dalam sesi tertutup 17 Disember itu, Daim juga berkongsi pandangannya tentang masalah negara terutamanya kelemahan sistem pendidikan, korupsi dan ketidaksamaan.
Matlamat akhirnya, kata Dr Afif adalah menjadikan amalan dialog awam sebagai perkara biasa dalam lanskap politik Malaysia yang membolehkan berhubungan dengan anak muda untuk membincangkan isu negara.
Matlamat itu tepat pada masanya memandangkan kajian Merdeka Center sebelum ini menunjukkan anak muda tidak peduli kepada politik kerana tidak mempercayai dan berminat kepada ahli politik.
Komen