Anak muda tidak percaya ahli politik, dedah kaji selidik


Radzi Razak

RAMAI anak muda di Malaysia memandang rendah ahli politik dan kerana itu mereka bersikap acuh tidak acuh untuk mendaftar sebagai pengundi, dedah satu kaji selidik terbaru Merdeka Centre dan Watan.

Kaji selidik yang dibentangkan di Petaling Jaya malam ini menunjukkan tujuh daripada 10 anak muda tidak mempercayai ahli politik manakala lebih separuh menganggap pemimpin politik tidak pedulikan rakyat.

Lebih tiga perempat daripada responden kaji selidik itu turut menyatakan mereka tidak peduli langsung hal politik dan manakala seorang dalam setiap empat orang percaya kalau terlibat dalam proses politik pun, mereka tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan.

“Kami yakin kaji selidik ini mewakili keadaan demografi anak muda di Malaysia,” kata Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Sufian ketika membentangkan Kaji Selidik Persepsi Anak Muda terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa Kebangsaan.

Watan ialah sebuah badan masyarakat sivil yang menggerakkan kempen kesedaran dalam kalangan anak muda untuk jadi pengundi.

Kaji selidik ini melibatkan 604 responden di seluruh negara merangkumi 68% anak muda Melayu, 23% Cina dan 9% India, dari 165 kawasan Parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk kira-kira 40% yang belum mendaftar mengundi. Mereka berumur antara 21 hingga 30 tahun.

Ibrahim berkata kaji selidik itu mendapati 53% daripada anak muda yang berdaftar itu mengatakan mereka terlalu sibuk untuk mengundi.

Dapatan kaji selidik ini juga menepati gambaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Mac lepas apabila ia mendedahkan 4.1 juta orang yang layak mendaftar belum lagi berdaftar sebagai pengundi setakat Februari tahun ini.

“Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45% daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih 4 juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan,” katanya, seperti dipetik oleh agensi berita Bernama.

Kaji selidik itu juga mendapati 75% golongan muda etnik India lebih menunjukkan rasa tidak peduli dengan politik, diikuti Melayu (71%) dan Cina (62%). Sejumlah 64% daripada yang tidak peduli politik itu juga telah berdaftar sebagai pengundi.

Bagaimanapun anak muda India ini lebih mempercayai ahli politik (40%) berbanding Melayu (29%) dan Cina (20%).

Kaji selidik yang dijalankan antara 3 hingga 18 Ogos lalu ini melibatkan 60% mereka yang bekerja di sektor swasta manakala 15% bekerja sendiri, 11% pelajar atau tidak bekerja dan 8% berkhidmat di sektor awam atau syarikat berkaitan kerajaan. Baki 6% pula suri rumah sepenuh masa. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen